Oleh Natirah Azira • 20 Mar 2023 • 4 min baca
Kata orang, kita memang tidak pernah bersedia untuk berkahwin. Dari satu sudut, mungkin ada benarnya, tetapi dari sudut yang lain, kita sebenarnya boleh mempersiapkan diri atau dengan perkataan lebih tepat, ‘membangunkan’ diri menjadi insan lebih baik untuk hubungan perkahwinan suatu masa nanti.
Walaupun anda belum berkahwin, tidak salah untuk mengambil tahu tentang hak dan undang-undang melibatkan perkahwinan. Contohnya tentang nafkah, tugas dan tanggungjawab serta kewajipan sebagai suami dan isteri.
Jika anda sudah punyai calon pula, boleh mula bincang tentang jangkaan yang anda dan pasangan mahu dari diri masing-masing, contohnya pembahagian waktu meluangkan masa bersama keluarga mertua, hal ehwal memasak atau menguruskan rumah dan lain-lain. Ia mungkin nampak kecil, tetapi akan mengurangkan ‘kejutan’ yang tak disukai dalam rumah tangga.
Orang yang jelas tahu perangai diri anda sebenar selalunya ahli keluarga dan juga rakan-rakan yang sangat rapat dengan anda. Mintalah pandangan mereka tentang perangai diri sendiri yang perlu diperbaiki. Ia boleh jadi disiplin dalam mengurus masa, isu emosi mahupun sekecil-kecil perkara seperti tabiat kebersihan.
Mereka mungkin akan memberikan satu jawapan yang jujur tapi pahit untuk ditelan. Usah bersifat pasif agresif dahulu lalu menolak apa yang diberitahu. Ambil masa dan renung kembali, adakah komen mereka ada kebenaran atau tidak. Yang tidak benar, letak di tepi, tapi jika ada yang betul, itulah bahagian yang perlu diberikan perhatian.
Boleh juga minta cadangan daripada mereka, apa penambahbaikan yang boleh dilakukan. Fokuskan kepada penyelesaian masalah berbanding rasa rendah diri atau menyalahkan diri sendiri.
Sebuah perkahwinan tidak hanya dipenuhi dengan pelangi atau bunga-bungaan sahaja. Perkahwinan adalah satu proses yang berselirat, kerana anda hidup bersama dengan orang lain yang ada fikiran, perasaan dan tabiat yang berbeza berbanding anda. Justeru, cara menyelesaikan masalah juga berbeza.
Fahami cara masing-masing dan capai kata sepakat. Pada awal perkahwinan, anda mungkin baru menyedari bahawa anda seorang yang suka mengelak dan bertenang dahulu, manakala pasangan pula tidak suka menangguh perbincangan, maka capai kata sepakat dan jalan tengah. Banyak prasangka boleh diselesaikan dengan komunikasi yang sihat.
Selalunya kita akan cepat marah apabila ada masalah. Marah itu biasa, tetapi marahlah dengan cara yang terhormat; tidak merendah-rendahkan pasangan, tidak menjerit dan mengherdik dan tidak mengungkit-ungkit.
Apabila kita berusaha membangunkan diri sendiri, perlahan-lahan kita akan mula jelas dengan apa yang kita perlu dan apa yang kita mampu kompromikan.
Anda mungkin boleh menyenaraikan sekian banyak ciri-ciri pasangan idaman, tetapi di dunia sebenar, seorang manusia tidak dapat memenuhi semua ciri tersebut. Pasti ada yang perlu dikompromikan. Contohnya, anda inginkan seorang yang lucu dan kelakar, tetapi yang sebenarnya anda benar-benar perlukan adalah seorang yang tidak cepat mengalah dan mampu memberikan sokongan dalam hidup. Justeru, anda mungkin sudah boleh menerima jika si dia seorang yang tidak cepat mengalah, walaupun dia bukan seorang yang kelakar.
Apa pun, dalam menentukan kualiti yang anda inginkan dalam pasangan ini, anda perlu jelas dahulu, apakah yang anda benar-benar perlukan dalam hidup bersama pasangan.
Doakan kebaikan dan kesejahteraan buat rakan yang telah lebih dahulu bertemu jodoh dan berkahwin. Sesungguhnya doa yang kita titipkan pada sahabat walau dalam keadaan rahsia akan diaminkan semula oleh para malaikat untuk diri kita sendiri.
Berbahagialah melihat mereka bahagia. Adatnya, akan banyak momen-momen bahagia bersama pasangan yang akan dikongsi mereka di media sosial. Usah rasa iri hati atau menyampah, doakan yang baik-baik untuk dia dan diri kita sendiri.
Semoga beberapa persediaan yang kami kongsikan ini dapat dijadikan panduan yang baik. Akhirnya, perlu untuk difahami bahawa persediaan perlu tetapi penting juga untuk fleksibel dan beradaptasi dengan keperluan dalam hubungan rumah tangga kelak.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.