Site icon Tazkirah

Fahami Hukum Menukar Nama Setelah Peluk Islam

Islam menekankan penggunaan nama yang baik bagi seseorang individu. Sejak lahir lagi, proses pemilihan nama diteliti. Ia bukan hanya untuk kehidupan di dunia, malah di akhirat kelak nama itu juga akan digunakan sewaktu dipanggil oleh Allah SWT.

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu”.  (Riwayat Abu Daud, 1996)

Justeru, tanggungjawab meletakkan nama yang baik buat seorang anak itu adalah tanggungjawab para ayah. Namun, bagaimana pula dengan orang yang baru memeluk Islam. Adakah nama asal perlu ditukar, dan apa pula hukumnya?

Sebenarnya, hukumnya terbahagi kepada beberapa bahagian.

#1- Wajib

Hukum wajib ini terpakai apabila nama asal mengandungi unsur kufur, syirik dan menyaingi Allah seperti nama-nama dewa dan berhala.

#2- Sunat

Sunat mengubah nama apabila nama asalnya mengandungi makna yang tidak elok (walaupun tidak sampai kepada tahap nama-nama yang diharamkan).

Rasulullah SAW pernah menasihatkan seorang sahabat supaya menukar nama Hazn (dukacita) kepada Sahl (mudah). Tetapi sahabat itu tidak mahu dan ingin mengekalkan nama yang telah diberikan oleh bapanya. Lalu baginda SAW diam, dan tidak menegah. Bererti baginda memberi ruang kebebasan kepada sahabat tersebut. Hukum menggunakan nama yang kurang elok pula adalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram.

#3- Harus

Hukum menukar nama sedia ada yang sudah baik kepada nama lain yang juga baik adalah harus. Contohnya, menukar nama yang sudah ada makna yang baik dalam bahasa asalnya kepada nama lain dalam bahasa Arab.

#4- Makruh

Seseorang pula makruh menukarkan nama yang sudah sedia ada elok kepada nama yang kurang elok atau yang tiada makna. Contohnya tindakan meringkaskan nama sehingga tidak ada lagi makna yang jelas dan baik.

#5- Haram

Hukum haram pula terpakai apabila seseorang ingin menukarkan nama yang sudah baik dan elok kepada nama yang dilarang dan diharamkan. Contohnya menukarkan nama nya kepada nama-nama dewa atau menambah priest pada nama. Hal ini demikian kerana, nama tersebut paderi dan gelaran khusus yang sinonim dengan agama lain.

Kesimpulannya, fahamilah hukum di sebalik satu proses penukaran nama. Dari sudut Islam, nama yang sudah baik yang diberikan oleh ibu bapa sebelum seseorang memeluk Islam adalah memadai untuk digunakan. Tidak ada dalil yang mewajibkan penukaran nama tersebut, kerana tidak ada syarat bahawa nama mestilah dalam Bahasa Arab sahaja. Bahkan, baginda SAW juga mengekalkan nama para sahabat yang telah masuk Islam, namun berasal daripada bangsa selain Arab. Wallahua’alam.

Sumber:

Mardia Mazri. (2020). Hukum Menukar Nama Bagi Mualaf Setelah Memeluk Islam. Mufti Wilayah Persekutuan.

Exit mobile version