Gaya Hidup

Pelihara Fokus Ibadah Ramadan Dengan Buat Persiapan Raya Lebih Awal

Oleh Natirah Azira  •  15 Mar 2023  •  3 min baca

Saya yakin pasti sudah ada yang siap menyediakan pakaian raya tahun ini.

‘Eh, awalnya puasa pun belum, semangat betul!’

Mereka yang membuat persiapan awal begini biasanya tidak mahu pening kepala dengan banyak perkara dalam bulan Ramadan, malas ingin keluar membeli-belah di musim ramai orang, ditambah pula perlu bersaing dengan orang yang berebut ingin membeli baju raya di media sosial juga.

Nampak macam semangat nak raya bukan? Tapi dari satu sudut lain, ia dapat dilihat sebagai pelan yang lebih baik untuk membantu kita memberi fokus utama kepada ibadah dalam bulan Ramadan.

Di bulan Ramadan, ada ibadah dengan ganjaran berganda disediakan dalam banyak perkara – solat terawih dan solat malam, sedekah dan juga memberi makan orang yang berbuka.

Jadi, sebenarnya perkara-perkara lain yang menjurus kepada sambutan raya boleh dipertimbangkan awal untuk diselesaikan sebelum masuk Ramadan, atau pada minggu pertama Ramadan lagi. Antaranya:

#1- Sediakan Kelengkapan Pakaian

Ada yang ingin menunggu hingga ke hujung Ramadan, demi mendapatkan harga runtuh. Ada pula yang tidak sanggup bersesak-sesak mencari baju raya dan kasut raya pada saat akhir. Kedua-duanya boleh dinilai sebenarnya, mana yang lebih menguntungkan.

Mungkin sebenarnya, jika pandai mencari dan memperuntukkan masa yang lebih untuk mencari pada awalnya, ada harga baju raya yang mampu milik dan masuk akal. Harga pula tidak jauh beza dengan promosi malam raya.

Jika ada kekangan kewangan, anda boleh membahagikan persiapan kepada beberapa tahap contohnya, baju raya anak-anak dahulu, kemudian diri dan pasangan, kemudian mungkin kasut raya pula.

Jika beli lebih awal, dan perlu dibetulkan, tukang jahit juga boleh dicari lebih awal.

#2- Cari Tukang Jahit Awal

Biasanya ketika Ramadan menjelang, keluhan-keluhan akan berbunyi, ‘tukang jahit dah tak nak ambil tempahan’.

Ini mungkin satu perkara yang tidak dapat dielakkan apabila kain baju dibeli lambat. Tetapi jika anda bernasib baik, anda boleh cuba lihat-lihat di jejahit2u.com jika ada tukang jahit yang masih lapang mengikut daerah dan negeri. Paling tidak, jika anda perlu betulkan baju saat akhir, ada tempat yang ingin dituju.

#3- Tukar Duit Raya Lebih Awal

Duit raya juga boleh menimbulkan pening kepala jika tidak disediakan awal. Terpaksalah guna duit lama yang sudah pudar bau harum duitnya. Tukarlah duit raya lebih awal dari bank. Letakkan dalam sampul dan simpan untuk kegunaan hari raya nanti. Jika susah, kumpullah sedikit demi sedikit supaya tidak membebankan.

#4- Sediakan Kuih Raya Lebih Awal

Kuih raya jika tidak ada, seperti tidak lengkap. Ada yang memilih membuatnya sendiri dan ada pula yang memilih membeli.

Walau apa pun yang dipilih, buatlah pilihan lebih awal. Masa banyak boleh dijimatkan untuk beribadah berbanding bertungkus-lumus membuat kuih pada malam-malam penghujung Ramadan. Jika tidak membuatnya sendiri pula, penjual yang dipercayai juga boleh dicari lebih awal untuk tempahan.

Memang perkara ini semua boleh menimbulkan mood raya, dicampur dengan kekalutan yang dirasai pada malam-malam penghujung Ramadan. Tetapi usah mengorbankan pula fokus pada ibadah yang lebih perlu dihidupkan terutama pada 10 hari terakhir Ramadan. Selesaikan lebih awal supaya hati lebih tenang untuk melakukan ibadah di bulan Ramadan nanti.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami