Oleh Natirah Azira • 14 Mar 2023 • 2 min baca
“Banyak sangat kot dosa aku sampai Allah uji macam ni”
Banyak kali kita mendengar kata-kata begini lahir daripada bibir orang yang sedang diuji. Atau mungkin kita sendiri pernah menyebutnya. Seolah-olah ujian itu adalah hukuman kerana banyaknya dosa yang dilakukan.
Ada nada pasrah, ada juga nada keinsafan. Tetapi jangan sampai kita berfikir bahawa ujian adalah tanda aras sebanyak mana dosa seseorang. Jangan sampai kita berpegang bahawa, banyaknya ujian seseorang bermakna dia seorang yang banyak berdosa. Sebaliknya lihatlah ia sebagai ruang untuk membersihkan diri. Allah lebih memberikannya ruang untuk membersihkan diri dari dosa berbanding yang lain. Bukankah ia kedengaran lebih penuh dengan harapan dan kebaikan?
Mengapa saya katakan ujian adalah ruang dan peluang?
Kerana Rasulullah SAW sendiri menyebut dalam satu hadis sahih bahawa daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)
Adakah ia berbunyi seperti hukuman atau satu peluang?
Ujian yang disebutkan di sini merangkumi penyakit, kegusaran, kesedihan, gangguan, kesusahan bahkan keletihan. Kesemuanya adalah ruang untuk dosa dan kesalahan kita dihapuskan.
Bayangkan, keletihan menguruskan rumah tangga dan anak-anak menjadi ruang untuk dosa kita dihapuskan. Gangguan yang kita terima dari cakap-cakap orang juga ruang untuk kesalahan kita dipadam. Bahkan jika ada luka yang terkena jari juga jadi ruang untuk penyucian. Banyak ruang yang Allah berikan agar kita sentiasa mensucikan diri dari kesalahan.
Umat Islam yang beriman tetap tidak terkecuali melakukan dosa setiap hari, besar atau kecil. Logiknya, dapat kita bayangkan tabung dosa yang akan sentiasa meningkat, tetapi dengan ujian, tabung dosa seseorang itu boleh berkurang.
Justeru, berdamailah dan ingatlah apabila ujian menimpa. Usah mengeluh dahulu, sebaliknya pegang dada dan ingatkan jiwa bahawa Allah sedang memberikan ruang yang besar untuk kita. Bersangka baiklah pada Allah dan jangan hanya berfikir Allah sedang menghukum melalui kesusahan yang perlu kita hadap.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.