Oleh Natirah Azira • 13 Mar 2023 • 2 min baca
Ada orang mendefinisikan kebaikan itu sebagai suatu yang menyenangkan dan memudahkan. Sebahagian pula memahaminya sebagai niat dan akhlak yang baik. Bererti kebaikan itu bermula dari hati dan zahirnya pada perbuatan.
Ada orang yang mudah menghulurkan bantuan apabila diminta. Ada pula yang tidak suka membebel walau tidak sukakan sesuatu. Hal kedua ini juga kebaikan.
Ada pula orang yang niat baiknya ada tetapi mungkin belum ada ruang untuk menzahirkan kebaikan yang diniatkan. Tapi kebaikan di hati ini pun tidak terlepas daripada pandangan Allah. Ada satu kalam Allah yang sangat mengagumkan tentang orang-orang yang mempunyai kebaikan dalam hati mereka.
“Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Ia akan memberi kepada kamu (balasan) yang lebih baik daripada (harta benda penebus diri) yang telah diambil dari kamu, dan Ia akan mengampunkan dosa kamu; kerana Allah Maha Pengampun, lagi maha Mengasihani.” (Surah Al-Anfal, 8:70)
Ayat ini diturunkan semasa dalam fasa peperangan. Salah seorang yang menjadi tawanan perang adalah Al-Abbas Ibn Abdul Mutalib, yang merupakan bapa saudara Nabi SAW. Ketika itu beliau belum Islam. Walaupun beliau telah membayar sejumlah wang yang banyak untuk menebus diri, Allah membalas semula nilai itu dengan harta yang lain serta pengampunan. Allah tahu hatinya lunak kepada Islam.
Ayat di atas boleh kita jadikan penguat di saat kehidupan mencabar. Ada kala kita rasakan ujian hidup bertimpa-timpa lalu menyalahkan diri, bahkan menghukum bahawa diri seorang yang banyak dosa. Tetapi Allah tahu jika dalam hati kita ada atau tidak walau sekelumit kebaikan. Dan setiap kebaikan itu pasti dibalas.
Bukankah Rasulullah SAW pernah mengkhabarkan bahawa kebaikan yang baru diniatkan juga Allah catatkan sebagai satu kebaikan yang sempurna walau belum dilakukan? Betapa Allah sangat Melihat dengan halus dan teliti hatta sekecil-kecil perkara yang tersembunyi di hati.
Jadi, didiklah hati agar membaja dan menyuburkan kebaikan-kebaikan yang lain walaupun kecil. Cambahkan ia agar kebaikan sahaja yang menghuni setiap ruang hati. Semoga akhirnya dengan kebaikan ini, ia menjalar menjadi satu tindakan zahir yang boleh dirasai kesannya oleh orang lain pula.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.