Tawakal adalah kualiti seorang hamba yang beriman kepada Allah SWT. Dia percaya pada Allah meskipun jalan di hadapan masih kabur, walau banyak perkara yang masih samar. Dalam ketidakpastian perjalanan, mereka hidup dalam kepastian janji Allah, bahawa Allah akan mentakdirkan yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Maka, jika anda percaya dengan aturan hidup yang diuruskan Allah, anda sudah bertawakal.
Jika anda berusaha kemudian menyerahkan keputusannya kepada Allah, anda sudah bertawakal.
Dan Allah sendiri mengatakan bahawa Allah sayang kepada orang yang bertawakal kepadaNya.
“…sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran, 3:159)
Apabila Allah sudah mengasihi hambaNya, maka apa yang berlaku?
Allah akan mengkhabarkan kepada ketua malaikat iaitu Jibril untuk mencintai hamba ini. Jibril pula akan mengkhabarkan kepada seluruh makhluk langit yang lain agar mencintai hamba tersebut. Berita ini ada dinukilkan dalam hadis sahih riwayat Bukhari (Sahih Bukhari, no. 7485).
Walau bagaimanapun, tawakal tidak datang sendiri. Tawakal perlu sentiasa diperbaharui kerana manusia sifatnya kerap lupa dan terlalai. Ada hari kita percaya kepada Allah tanpa ada perantaraan makhluk pun, ada hari kita terlupa dan bertawakal kepada makhlukNya.
Kualiti tawakal ini perlu difahami dengan benar oleh umat Islam, agar kita tidak tergelincir ke arah tawakal kepada makhluk.
Apa maksud tawakal kepada makhluk?
Perkara ini ada diberi gambaran oleh Hatim al-Asham. Kata beliau, dia banyak melihat manusia menyerah diri dan bertawakal kepada makhluk. Sebahagiannya kepada kebun, barang perniagaan, pekerjaan dan ada pula yang bertawakal kepada kesihatannya.
Maknanya, mereka bersandar dan bergantung harap kepada ‘makhluk-makhluk’ yang Allah ciptakan ini untuk meraih suatu kebaikan dan mengelakkan mudarat. Mereka percaya jika mereka dapat menguasai sesetengah perkara, maka mereka akan baik-baik sahaja. Sedikit sahaja mereka ingat kepada Allah di sela-sela masa terluang.
Walhal, Allah yang berada di sebalik semua perkara tersebut, dan Allah lah yang memberikan kebaikan dan mengelakkan mudarat.
Apabila kita kurang bertawakal kepada Allah SWT, rasa takut dan bimbang berlebihan kepada nasib hidup boleh muncul. Hati jadi resah kerana merasakan bahawa tidak ada jalan keluar dan tidak ada jalan yang dapat kita usahakan. Ingatlah kembali pesanan Allah bahawa Allah akan mencukupkan keperluan dan menyelamatkan kita dari kesusahan.
Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (Surah al-Talaq 65:3)
Marilah kita usahakan tawakal. Selami pesan-pesan Allah melalui kalamNya, dan titipan kata-kata baginda SAW tentang tawakal. Perkemaskan keyakinan kepada urus tadbir Allah SWT atas kehidupan hamba-hambaNya yang Dia sendiri cipta.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.