Site icon Tazkirah

Fahami Makna Khusyuk Dalam Solat Dengan Sebenar-benarnya

Khusyuk dalam solat adalah keinginan paling tinggi buat seorang Muslim yang menunaikan ibadah yang wajib itu. Namun khusyuk adalah hal yang sukar dicapai dan perlu diusahakan.

Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa khusyuk adalah kemampuan untuk fokus dan menumpukan sepenuh perhatian pada bacaan dan perbuatan dalam solat. Adakah itu sahaja maknanya? Mari kita fahami makna khusyuk.

Menurut pakar bahasa Ibn Faris Rahimahullah, dalam Mu’jam Maqaayiis al-Lughah, beliau berkata bahawa:

“Khusyuk adalah (terdiri dari tiga huruf dasar), Kha, Syin, dan ‘Ain adalah satu sumber, yang menunjukkan kepada makna tunduk/merendah)”

Kalimah ini dikatakan lebih kurang sama dengan kalimah khudhu’. Tetapi khudhu’ berkaitan dengan tubuh badan sahaja, sedangkan khusyuk melibatkan tubuh badan, suara serta pandangan.

Maksud Khusyuk Mengikut Para Ulama:

1. Ibnu Abbas mengatakan khusyuk adalah tenang dan merendahkan diri.

2. Al-Hasan al-Basri dan Imam Qatadah menafsirkan khusyuk sebagai orang yang takut.

3. Muqatil mengatakan ia adalah orang yang rendah hati (tawadhu’).

4. Mujahid berpendapat ia adalah orang yang menundukkan pandangan dan merendahkan suara.

5. Saidina Ali RA dan Sa’id bin Jubair mempunyai pandangan hampir sama iaitu khusyuk adalah orang tidak menoleh ke kiri dan ke kanan, bahkan tidak mengetahui siapa yang berada di sebelah kanan dan kirinya.

6. ‘Amr bin Dinar berkata ia adalah ketenangan dan keindahan keadaan yakni gerakan.

7. Ibnu Sirin berpendapat khusyuk adalah tidak mengangkat pandangan dari tempat sujud.

8. Atha’ menukilkan bahawa khusyuk adalah tidak bermain-main dengan anggota tubuh semasa solat, dan juga berpaling dari urusan di luar solat dalam masa sama menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan.

9. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahulah mengatakan khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh rasa tunduk dan menghina diri.

10. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali memberi definisi bahawa khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetap.

Rumusan daripada kesemua tafsiran di atas, khusyuk boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Khusyuk Hati

Kehadiran hati semasa menunaikan solat untuk fokus menghadap Allah SWT, membawa rasa cinta, rasa mengangungkanNya, rasa takut terhadap seksaanNya. Dalam masa sama, seseorang juga rasa berharap dengan ganjaran pahalaNya, sehingga hati rasa dekat dan penuh penghayatan baik pada apa yang diucapkan atau yang dilakukan sepanjang solat.

2. Khusyuk Badan

Ia merupakan ketenangan dalam gerakan, beradab dan tidak tergesa-gesa semasa mengucapkan zikir atau doa. Ia juga bermaksud pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh kiri dan kanan serta tidak melakukan pergerakan yang sia-sia yang tidak ada kaitannya dengan solat.

Justeru, makna khusyuk adalah sangat luas dan mencakupi keadaan hati, fikiran, bacaan dan juga perbuatan dalam solat. Semoga dengan pemahaman kita yang lebih mendalam tentang makna khusyuk, kita akan lebih memperhatikan setiap perkara yang dilakukan dalam solat. Semoga, akhirnya kita dapat mencapai kekhusyukan dalam ibadah wajib ini.

Sumber:

Mohamad Razif. (2017). Bayan Linnas Siri Ke-82: Khusyuk Solat: Hukum Dan Cara Mendapatkannya. Mufti Wilayah Persekutuan.

Exit mobile version