Inspirasi

Perkara Yang Allah Lambatkan Berisi Kebaikan

Oleh Natirah Azira  •  7 Feb 2023  •  3 min baca

Bagaimana dengan kehidupan anda sekarang? Adakah anda sudah dapat perkara yang anda harapkan? Berapa lama anda sudah menanti? Adakah ia tiba terlalu lambat?

Lambat yang ingin kita perkatakan kali ini bukan lambat untuk melakukan sesuatu tetapi lambat yang di luar kawalan seperti lambat dapat kerja, naik pangkat, naik gaji, bahkan perkara biasa dalam kehidupan seharian seperti lambat beratur!

Biasanya, dalam keadaan ini, keluhan akan terlepas. Kerutan akan terbit di dahi. Dan hati akan mula rasa sebal. Mudahnya, kita jadi tidak sabar.

Sifat tidak sabar manusia, ditambah dengan gaya hidup serba cepat masa kini, buat kita cepat melatah dengan perkara yang lambat. Hati jadi tidak sabar menunggu untuk mendapat apa yang kita mahu. Kita terperangkap dalam ‘instant gratification’.

‘Instant gratification’ dalam bahasa mudahnya, kita mahukan rasa puas segera. Contohnya, mahu makan makanan manis segera, atau dalam jumlah yang berlebihan. Mahu tukar kereta lebih mahal kerana gaji sudah naik. Kita mahu tukar segera, berbanding menunggu lebih lama sehingga keadaan hidup betul-betul stabil.

Apa Makna Yang Kita Letakkan Pada Gaya Hidup Pantas?

Sebenarnya, apakah makna yang kita letakkan pada gaya hidup segera dan pantas? Dan apa pula makna yang kita letakkan pada perkara yang tertangguh atau lambat?

Adakah jika seseorang cepat mendapat sesuatu dalam hidup, maka dia lebih berjaya? Adakah yang lambat bererti dia seorang yang gagal dan tidak berusaha?

Kawan berjaya beli rumah di usia 25 dikira berjaya. Kawan pakai kereta berjenama dikira berjaya dalam hidup. Kawan ada gaji lima angka dikira berjaya dalam hidup. Adakah begitu?

Di permukaannya, ia hanya salah satu bentuk pencapaian. Jika kita hanya menyamakan erti berjaya orang dengan diri sendiri, maka sudah tentu tidak akan habis. Akan ada sahaja ‘bentuk’ kejayaan lain yang akan dicapai oleh mereka.

Keindahan Yang Ditangguhkan Tuhan

Kata Mufti Menk, jangan menganggap semua yang lambat sebagai perkara yang negatif. Pastinya ada kebaikan dan keberkatan yang tersembunyi di sebalik hal yang tertangguh. Tetapi kita, kerana ilmu dan pengetahuan yang terbatas, kerap jadi marah apabila suatu benda lambat.

Kita tidak dapat mengagak hikmah yang Allah sediakan di sebalik kelambatan.

Pernah bukan kita dengar perkongsian cerita orang. Ada yang lambat memulakan perjalanan ke suatu tempat. Namun kerana kelambatan itulah dia terselamat dari kemalangan yang terjadi dalam perjalanan.

Ada yang lambat beli rumah, tetapi akhirnya dapat beli dengan harga yang jauh lebih murah dengan kualiti yang baik di musim pandemik.

Ada orang yang lambat bertemu pasangan hidup, tetapi hikmahnya dia mampu menjaga dan memberi perhatian kepada ibu bapa yang sudah meningkat tua.

Ada banyak lagi kisah yang kita jumpa tentang kebaikan dalam kelambatan yang Allah simpan. Kelambatan menuntut kesabaran. Dan orang yang bersabar adalah orang yang cuba mencari hikmah dan bersangka baik dengan perancangan Allah Yang Maha Menguruskan perihal hidup manusia.

Yang penting, biarlah penantian ini kita isi dengan perkara yang bermanfaat, dengan sangka baik, bukan dengan keluh kesah atau rasa yang sebal. InsyaAllah di penghujungnya, Allah bakal berikan anugerah yang lebih baik buat kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami