Inspirasi

Doa Diberikan Rahmat Dan Keampunan Oleh Allah SWT

Oleh Natirah Azira  •  15 Feb 2023  •  2 min baca

Perkataan rahmat sangat banyak disebut dalam kalam Al-Quran, bahkan turut kita selitkan setiap kali mengakhiri doa dengan ucapan ‘birahmatika Ya Arhamarrohimin’.

Rahmat ini bermaksud kasih sayang, belas kasihan dan kelembutan. Dalam satu hadis sahih sendiri, Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa rahmat Allah lebih besar daripada kemurkaanNya.

Manakala kata Ibnu Qayyim rahimahullah, rahmat dan reda ini adalah sifat Allah sendiri. Justeru, kerana rahmatNya, Allah memberikan rezeki berupa makan minum, kekuasaan, kekayaan dan kesihatan kepada seluruh hambaNya baik yang Muslim atau yang kafir. Namun, kata Syeikh Abdurrahman as-Sa’di, rahmat yang sempurna hanyalah untuk orang-orang yang bertakwa, yang mengikuti para Nabi dan RasulNya.


Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW ia berkata, “Tatkala Allah menciptakan makhluk-Nya, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.(HR. Bukhari no. 7404 dan Muslim no. 2751)

Bermakna Allah memberikan banyak peluang kepada hamba-hambaNya, mengampunkan yang salah dan menerima taubat orang yang berbuat dosa. Allah tidak terus menyeksa dan menghukum mereka yang bermaksiat kepadaNya di dunia, bahkan diberikan peluang untuk kembali kepadaNya hingga hujung nyawa.

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ

“Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya” (Surah Al-Kahfi, 18:58)

Jika Allah sudah memberikan rahmatNya, adakah kita sudah tidak perlu berdoa dan meminta?

Kita masih perlu memohon rahmat Allah, belas kasihan dan kelembutan daripadaNya, seperti yang Allah sendiri pesan kepada baginda SAW:


“Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): “Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!” (Surah Al-Mukminun, 23 : 118)

Jika baginda sendiri digesa untuk berdoa dan memohon rahmat daripada Allah, maka ia tanda untuk kita turut mengikuti amalan ini. Bahkan ia dinukilkan dalam kisah sekelompok pemuda yang akhirnya ditidurkan di dalam gua. Mereka juga memohon rahmat, belas kasihan, dan kasih sayang daripada Allah SWT untuk menentukan takdir hidup mereka.

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Surah Al Kahfi, 18: 10)

Kesimpulannya, berdoalah dengan meminta rahmat belas kasihan serta kasih sayang daripada Allah SWT. Kita bukan hanya mahukan perkara material atau keperluan hidup sahaja. Kita bukan hanya perlukan kesihatan, kekayaan dan kegembiraan di dunia ini, namun yang lebih besar adalah rahmat yang hadir bersama pemberian tersebut.

Rujukan:

Abu Ismail Muslim Al-Atsari. Mengimani Sifat Rahmat Allah Yang Luas. Almanhaj.
Muhammad Abduh Tuasikal. (2012). Faedah Tauhid, Rahmat Allah Mendahului MurkaNya. Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami