Inspirasi

Persiapkan Bekal Terbaik Untuk Kehidupan Di Akhirat

Oleh Natirah Azira  •  7 Feb 2023  •  2 min baca

Bercakap tentang bekal, secara ringkasnya kita membayangkan suatu yang dibawa untuk digunakan kemudian. Biasanya bekal dibawa apabila menempuh satu perjalanan. Jika dulu ke sekolah, bekal dibawa untuk makan pada waktu tengah hari. Jika terlambat bangun, ada yang bawa bekal sarapan untuk dimakan di dalam kereta atau di tempat kerja. Bekal makanan menyelamatkan kita daripada lapar.

Bekal akhirat pula menyelamatkan kita daripada kesusahan di akhirat kelak. Pesanan mempersiapkan bekal untuk perjalanan ke akhirat ini Allah sebut dalam Surah Al-Hasyr, ayat 18.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Al-Hasyr, 59:18)

وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ

“…dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).

Suruhan untuk ‘melihat’ amalan diri di sini bukan hanya melihat tetapi memperhatikan dengan teliti atau memikirkan dengan mendalam tentang bekalan yang telah disediakan untuk akhirat. Apa yang perlu diperhatikan? Perhatikan jika ada kecacatan, kekurangan, kecuaian atau kelemahan dalam amalan yang telah dilakukan.

Dan Allah mengingatkan sekali lagi selepas itu supaya bertaqwa kepada Nya.

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

Menurut Tafsir Fi Zilal Al-Quran oleh Syed Qutb, taqwa itu adalah keadaan yang akan membuatkan hati sentiasa sedar dan berwaspada, sentiasa merasa kehadiran Allah, sentiasa takut, serba salah dan malu dilihat Allah berada dalam situasi yang tidak disukaiNya.

Justeru, seorang mukmin yang sudah memperhatikan amalannya, akan bertambah peka dengan dengan segala yang hal yang akan dilakukan dan tidak akan melakukan sewenang-wenangnya.

Dan bekal yang terbaik adalah setiap perkara yang telah Allah khabarkan akan membantu kita di akhirat kelak, baik amalan dengan diri sendiri, dengan ibu bapa, keluarga, dengan kaum kerabat, jiran tetangga dan juga masyarakat sekeliling. Setiap satunya mesti diperhatikan, dilaksanakan dengan waspada mengikut aturan yang sudah Allah tetapkan.

Bekalan ini bukan maksudnya kita perlu mengira-ngira pahala, tetapi melakukan amalan sesuai suruhan dan pesanan, dengan cara yang paling baik yang boleh dilakukan. Itulah bekal yang akan menyelamatkan dan akan memastikan kita tidak terkontang-kanting di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami