Keluarga

Adakah Suami Perlu Nyatakan Secara Khusus Nafkah Yang Diberikan Kepada Isteri

Oleh Natirah Azira  •  2 Feb 2023  •  3 min baca

Nafkah adalah pemberian yang wajib dilakukan apabila berlakunya perkahwinan dan ada hubungan kekeluargaan. Setelah berkahwin, seorang suami wajib memberikan nafkah kepada isterinya. Apabila mempunyai anak-anak, nafkah itu berkembang pula meliputi anak-anak.

Asas Tentang Nafkah

Nafkah menurut syarak adalah mengeluarkan sebahagian harta untuk perbelanjaan keperluan orang yang berada di bawah tanggungannya merangkumi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, keperluan perubatan dan selainnya yang diperlukan.

Para ulama menetapkan bahawa tanggungjawab nafkah yang wajib diberi adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (jika mampu).

Soal adakah seorang suami perlu memberi wang poket yang khusus sebagai nafkah kepada isteri, Imam Khatib Al-Syirbin menyebut dalam penulisannya bahawa ulama tidak menetapkan kewajipan yang sedemikian, jika seorang suami sudah memberi nafkah keperluan asas yang cukup kepada isteri. Pemberian nilai nafkah juga agak subjektif mengikut kemampuan suami.

Kuantiti nafkah keperluan asas kehidupan ini pula berdasarkan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan syarak. Seperti yang diterangkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah tamkin.

Isteri Yang Bekerja Mempunyai Keperluan Nafkah Yang Berbeza

Namun berbeza pula dengan isteri yang bekerja, yang akan makan tengah hari di luar, dan akan berulang-alik memandu kereta ke tempat kerja, sudah tentu memerlukan nafkah yang berbeza nilainya. Keperluan seperti alat mandian dan penjagaan diri pula kadang kala lebih rumit suami fahami kerana ada ‘brand’ dan musim promosi yang biasanya wanita lebih peka.

Justeru, ada yang memberi nafkah dalam bentuk wang dengan jumlah kadar tertentu kerana ia lebih mudah diuruskan oleh wanita itu sendiri.

Isteri Perlu Berkorban Atau Suami Perlu Ambil Tahu

Ada juga yang berpendapat bahawa isteri perlu terima sahaja nafkah dengan kadar yang suami mampu. Sebelah pihak lagi mengatakan hal ini tidak adil jika seorang wanita yang memang sejak bujang lagi memperuntukkan jumlah wang yang banyak untuk keperluan dirinya perlu berkorban dengan nilai nafkah yang rendah.

Ada pula kes di mana pada awal perkahwinan, isteri berkorban menanggung banyak keperluan asas rumah tangga seperti sewa rumah dan barang dapur kerana mahu menolong suami yang berpendapatan rendah. Akhirnya, suami tetap tidak mengambil semula tanggungjawabnya walaupun keadaan kewangan sudah stabil dan mampu.

Untuk mencapai jalan tengah, perbincangan seharusnya boleh dilakukan sejak awal perkahwinan. Bahkan semasa tempoh perkenalan juga seorang suami perlu mengambil kira jumlah perbelanjaan keperluan diri wanita yang akan dinikahi dan menetapkan kata sepakat. Pertolongan si isteri dalam menyediakan dahulu keperluan asas rumah juga contohnya boleh disyaratkan hingga tempoh tertentu (kewangan stabil). Hal ini lebih mudah agar jangkaan (expectation) dalam perkahwinan dapat diuruskan.

Sekiranya memang terdapat perjanjian antara suami dan isteri atau ditentukan oleh hakim tentang kadar nafkah yang khusus, maka suami wajib memberi mengikut kadar yang telah ditetapkan tersebut dan nafkah jenis ini disebut sebagai nafkah tamlik.

Secara umumnya, nafkah sangat berkait rapat dengan keadaan ekonomi semasa dan juga nilai harga barang-barang, kerana ia mempengaruhi pendapatan yang akan diperoleh suami serta perbelanjaan isi rumah.

Justeru, suami dan isteri tidak seharusnya terlalu ‘rigid’ dengan nilai nafkah. Jika suami tidak jelas tentang nilai keperluan asas yang isteri perlukan, ajaklah suami berbincang dan capailah kadar nafkah yang disepakati bersama. Usah berlaku zalim sesama pasangan, baik suami mahupun isteri. Tolak ansur diperlukan untuk mencapai keharmonian rumah tangga.

Rujukan:

Muhammad Fathi Noordin. (2023). Al-Kafi #1916: Adakah Suami Wajib Menyatakan Secara Khusus Nafkah Yang Diberikan Kepada Isteri. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami