Keluarga

5 Langkah Ini Bantu Anak Cepat Membaca!

Oleh Faseha Suhaimi  •  2 Feb 2023  •  4 min baca

Usia 6 tahun pertama adalah fasa tumbesaran anak yang paling utama. Tahukah anda neuron anak akan mula berkembang aktif dan menghasilkan hampir 700 sinaps setiap saat sewaktu mereka bayi lagi sehingga anak berusia 2 hingga ke 3 tahun. 

Proses perkembangan sel-sel otak anak ini berkait rapat dengan tumbesaran dan kematangan  mereka dalam pelbagai aspek seperti memberi tindak balas, berjalan, bertutur, membaca dan lain-lain lagi.

Anda mahu anak cepat membaca?

Jika ya, kemahiran ini tidak mampu dicapai hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Ia memerlukan plan tindakan dan perlu dimulakan dari seawal usia kelahiran anak. 

#1- Bina Fokus Seawal Usia

Ibu bapa boleh mula berbual atau bercakap dengan anak sejak mereka bayi lagi. Walaupun anak masih belum mampu bertutur, mereka akan memberi maklum balas melalui bunyi suara. Itu merupakan usaha awal mereka dalam berkomunikasi. Sebagai ibu bapa hendaklah sentiasa beri ransangan dan galakan agar anak memberi tindak balas terhadap persekitarannya. 

Alat permainan dan kepelbagaian aktiviti juga membantu dalam membina fokus anak seperti:

  • Permainan puzzle
  • Permainan blok
  • Aktiviti menguntai manik  
  • Aktiviti “Simon says”

Setiap contoh aktiviti ini perlu dirujuk dahulu mengikut kepada kesesuaian umur dan tahap perkembangan anak anda.

Elakkan anak dari ketagihan alat elektronik seperti telefon bimbit dan televisyen kerana ia umpama barah yang akan membantutkan proses pembelajaran dan perkembangan mereka. Bak kata peribahasa “mencegah lebih baik daripada merawat”.

#2- Luang 30 Minit Sesi Membaca Bersama Anak

Sesi bacaan 30 minit bersama anak boleh dilakukan secara konsisten walaupun anak masih bayi. Sesi ini lebih menarik jika ibu bapa dapat lakukannya secara bergilir-gilir. Pilih bahan bacaan awal yang bersesuaian seperti:

  • Buku berilustrasi
  • Tulisan besar 
  • Tulisan berwarna 

Fasa awal bacaan boleh dimulakan dengan ibu bapa membaca manakala anak mendengar. Semakin meningkat usia dan keupayaan anak, aktiviti membaca ini boleh dipelbagaikan lagi mengikut tahap penguasaan mereka.

#3- Guna Kad Imbasan

Kad imbasan antara alat bacaan yang bagus dan boleh digunakan secara berkala. Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar  juga berkongsi cara penggunakan kad imbasan melalui platform Instagram miliknya. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa anak masih bayi lagi. Berikut adalah teknik-teknik yang disarankan oleh beliau:-

  • Lakukan selepas makan dan ketika anak berasa selesa
  • Mata anak kelihatan fokus
  • Anggaran jarak 18 inci
  • Saiz kad imbasan berukuran besar 12×12
  • Gerakan kad imbasan tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju
  • Sesi dilakukan antara 1 hingga 2 minit, 3 kali sehari
  • Baca kad imbasan dengan suara yang kuat dan jelas
  • Tidak perlu menguji anak, hanya lebih sekadar meransang daya ingatan anak

Penggunaan kad imbasan ini juga masih relevan digunakan walaupun anak sudah menginjak dewasa. 

#4- Bawa Anak Ke Toko Buku

Beri anak peluang untuk memilih bahan bacaan sendiri dengan pengawasan ibu bapa. Galakan ini meransang minat anak untuk membaca. Selain itu, ia juga membantu anak untuk meluaskan genre bacaan mereka dengan mengeksplorasi bahan bacaan yang pelbagai.  

Di Malaysia juga terdapat banyak penganjuran ekspo jualan buku besar-besaran antaranya anjuran Pesta Buku Antarabangsa, Pesta Jualan Buku Big Bad Wolf dan banyak lagi. Pembukaan kedai-kedai buku baru juga semakin banyak pada zaman kini seperti BookXcess, Kinokuniya, Oyez!Bookstore, Little Bookworm dan pelbagai lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi semua kedai-kedai buku ini! 

#5- Sentiasa Beri Galakan

Elakkan cara kasar atau merotan sekiranya anak masih belum mampu membaca. Cara ini boleh memberi kesan yang kurang baik kepada rasa yakin diri anak pada masa akan datang. 

Ibu bapa boleh mulakan dengan sesi bacaan bersama anak dan bantu anak membaca perkatan atau ayat-ayat mudah dahulu seperti perkataan dua suku kata terbuka. 

Jika sebutan perkataan anak masih kurang jelas, selesaikan dahulu kesukaran yang mereka sedang hadapi. Kurangkan sikap terburu-buru dan lebih fokus kepada tahap penguasaan dan kemampuan anak.

Kesimpulannya, 

Anak boleh membaca seawal usia adalah harapan besar para ibu bapa. Oleh itu, para ibu bapa digalakkan untuk sentiasa mengambil tahu akan perihal tumberasan dan tahap keupayaan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Kurangkan memberi tekanan kepada anak akan hal-hal yang tidak mampu mereka lakukan dan belajar untuk mengukur baju dibadan sendiri. 

Selain itu, mulakan langkah awal dan sentiasa cuba teknik membaca yang pelbagai terhadap anak-anak. Jika semua langkah dan teknik sudah diusahakan dari awal dan anak masih tidak mampu membaca, usahakan untuk membawa anak berjumpa pakar supaya mereka boleh melakukan rawatan intervensi dengan segera.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Faseha Suhaimi

Merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sedang berkhidmat dalam sektor swasta dan bergerak aktif dalam kerja sosial MIASA.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami