Oleh Natirah Azira • 26 Jan 2023 • 3 min baca
Kehidupan seorang Muslim sebenar jika diteliti hakikatnya penuh dengan kualiti. Kerana Islam sendiri mendokong prinsip-prinsip asas sebagai tapak dan tiang agar kehidupan seorang Muslim itu kuat dan kukuh. Salah satunya ialah konsep ‘itqan’ atau ketekunan dalam suatu kerja.
Apakah itqan ini?
Ia adalah ketekunan yang mana seseorang menyempurnakan atau melaksanakan tuntutan atau tanggungjawab yang telah dititipkan kepadanya sesempurna mungkin tanpa ada yang kurang. Usaha ini sudah tentu disertai dengan usaha yang kuat, manakala masa dan ketelitian pula dijaga.
Soalnya adakah prinsip itqan ini kita gunakan dalam kerja seharian? Adakah kita datang tepat masa ke tempat kerja? Adakah kita sebaik mungkin menyelesaikan tugas dalam waktu yang ditetapkan? Adakah kita terus mengulang-ulang kesalahan yang sama yang sudah ditegur?
“Orang lain pun buat juga…”
Yang perlu kita fokuskan adalah kualiti kerja diri sendiri terlebih dahulu. Itulah hal yang paling dekat dengan kita dan mampu dikawal. Usah dengki melihat orang lain culas dalam kerja dan tidak dikenakan tindakan tata tertib. Apabila fokus mula kita halakan pada diri sendiri, hati akan lebih tenang, dan hasilnya akan terasa lebih bermakna.
Ramai yang beralasan bahawa, “tidak perlu terlalu gigih bekerja, kelak kalau sakit, posisi akan diganti juga”. Ayat sebegini jika tidak diteliti boleh menggadaikan prinsip itqan dalam pekerjaan.
Hakikatnya, sama ada posisi akan diganti atau tidak kelak, itu perkara kedua. Itqan tetap perlu dijaga, kerana usaha yang kita beri itu bukan percuma, tetapi dibayar upah dan gajinya saban bulan.
Sama juga, ada yang mula hilang motivasi bekerja kerana layanan rakan sekerja atau majikan yang kurang memberangsangkan. Dengan sebab ini, kualiti kerja mula menurun dan ketekunan sudah hilang entah ke mana, walaupun gaji masih berjalan setiap bulan.
Soalnya, adakah kita sudah mula bekerja dengan berpandukan emosi semata atau masih sedar apa tugas sebenar yang perlu diselesaikan. Terlalu memikirkan masalah yang tidak berkait dengan kerja, atau yang paling utama menyelesaikan kerja itu sendiri?
Jika tujuan utama adalah untuk menyelesaikan kerja ‘by hook or by crook’ kata orang, maka halangan-halangan yang tidak melancarkan proses kerja itu mestilah diselesaikan sama ada bercakap dan berbincang dengan orang yang ada masalah dengan diri kita, atau mempelajari kemahiran baru yang diperlukan atau memakai cara fikir baru yang lebih membawa diri kita ke hadapan.
Ringkasnya, ketekunan dalam pekerjaan adalah perkara mahal yang dapat meningkatkan kualiti diri sekaligus keberkatan dalam pendapatan. Ia juga wasilah bagi mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah. Semoga ketekunan yang kita berikan dalam kerja dapat menyempurnakan tanggungjawab yang digalas dan diredai oleh Allah SWT.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.