Kehidupan seorang muslim sangat berkait dengan muslim yang lain, sehinggakan ke penghujung hayat masih memerlukan penunaikan hak tanggungjawab muslim iaitu pengurusan jenazah.
Dalam proses pengurusan jenazah ini, wang khairat kematian atau sumbangan kematian akan diberikan bagi melancarkan urusan dan kos pengurusan jenazah seperti kelengkapan kafan, khidmat menghantar jenazah ke kuburan sekaligus meringankan beban keluarga si mati.
Malah semasa hidup juga, si mati mungkin sudah mendaftarkan diri dalam badan khairat kematian kariah masjid tempat tinggalnya serta membayar yuran berkala bagi memudahkan urusan pengurusan jenazah jika terdapat ahli keluarga yang meninggal.
Namun, bagaimana pula jika ada lebihan wang sumbangan dan khairat kematian. Adakah wang itu milik si mati atau boleh digunakan oleh keluarga untuk tujuan lain?
Sebenarnya, wang khairat kematian atau sumbangan yang diberikan oleh orang ramai selepas kematian seseorang boleh dikira sebagai kebajikan, derma atau sedekah. Jika penderma menyatakan tujuan duit yang disedekahkan hanya untuk pengurusan jenazah, maka ia perlu digunakan untuk tujuan tersebut sahaja.
Namun, jika pemberi tidak menyatakan niat atau tujuan (pemberian secara umum), wang lebihan sumbangan yang memang bertujuan meringankan beban ahli keluarga yang ditinggalkan boleh digunakan oleh ahli keluarga si mati seperti untuk makan minum atau apa sahaja perkara yang diperlukan.
Jika si mati masih memiliki hutang, wang lebihan khairat dan sumbangan kematian juga boleh digunakan untuk menyelesaikan hutang tersebut. Wallahua’lam.
Sumber:
Muhammad Adzhar bin Ahmad. (2023). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-747: Bagaimanakah Mengurus Lebihan Wang Khairat Dan Sumbangan Kematian. Mufti Wilayah Persekutuan.

