Gaya Hidup

Persediaan Ramadan Bermula Sekarang, Ini 7 Perkara Yang Penting Dilakukan

Oleh Natirah Azira  •  25 Jan 2023  •  3 min baca

Bulan Rejab sudah tiba, bermakna tinggal lagi dua bulan sebelum kita memasuki gerbang Ramadan. Ramai yang mula berkongsi ‘countdown’ menuju Ramadan dan ada juga berkongsi doa-doa yang boleh dibaca. Kali ini, Tzkrh ingin berkongsi kepada anda tujuh perkara yang boleh mula dilakukan sebagai persediaan menyambut Ramadan.

#1- Menggantikan Puasa Ramadan Lalu Yang Ditinggalkan

Ambil ruang ini untuk mula berlatih puasa perlahan-lahan. Mulakan dahulu dengan menggantikan puasa Ramadan yang telah ditinggalkan pada tahun lepas. Kemudian, anda boleh terus membiasakan dengan puasa sunat yang lain seperti puasa Isnin atau Khamis, serta puasa 3 hari pada setiap pertengahan bulan Islam.

#2- Bersenam Bagi Meningkatkan Stamina Dan Kesihatan

Untuk anda yang tidak biasa bersenam, ini adalah peluang yang baik untuk membina kekuatan fizikal diri. Pada bulan Ramadan nanti, keletihan badan pasti terasa, dan ramai yang akan kurang melakukan aktiviti riadah kerana kepenatan. Justeru, siap sediakan badan anda lebih awal untuk mengharungi puasa selama sebulan kelak.

#3- Mula Menghafal Surah Pendek

Di waktu malam pada bulan Ramadan, lazimnya terisi dengan ibadah solat sunat tarawih. Ada yang melakukan secara bersediri di rumah, ada pula yang berjemaah di masjid dan ada pula yang akan menjadi calon imam. Mulakan dari sekarang untuk menghafal surah-surah pendek supaya bacaan dalam solat sunat tarawih lebih lancar.

#4- Menabung Untuk Bersedekah

Umum mengetahui bahawa setiap amal ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan akan dilipat gandakan pahalanya. Hal ini termasuklah sedekah. Mulai daripada sekarang, anda boleh membuat tabung sedekah supaya sedekah terasa lebih ringan kerana anda sudah ada wang yang mencukupi kelak.

#5- Belajar Bangun Qiamullail

Selain daripada solat sunat tarawih, solat malam atau qiamullail juga adalah amalan yang sangat digalakkan pada malam Ramadan. Tambahan pula, adanya malam yang istimewa iaitu Malam Lailatul Qadr yang menjadi dambaan pencinta Ramadan. Biasakan untuk bangun malam daripada sekarang supaya badan dan minda anda lebih terbiasa untuk melawan kantuk untuk melakukan ibadah.

#6- Kawal Pemakanan

Selera seseorang boleh dipengaruhi oleh suasana dan keadaan badan. Biasanya di bulan Ramadan, aktiviti makan akan jadi lebih meriah. Kita akan dapat melihat aktiviti berbuka beramai-ramai dan juga padatnya bazar Ramadan. Pada waktu ini, jika selera makan tidak dikawal, seseorang akan lebih mudah terpengaruh dengan rasa lapar dan makan secara berlebihan semasa berbuka. Apa kata, mula jaga pemakanan dengan mengambil jumlah yang disarankan serta nutrisi yang lebih seimbang.

#7- Memperelokkan Bacaaan Al-Quran

Ramadan juga dipanggil Bulan Quran kerana Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Diceritakan pada zaman dahulu, para sahabat akan memeriahkan ibadah membaca Al-Quran menjelang Ramadan. Malah Rasulullah SAW sendiri pernah bertadarus bersama Jibril membaca Al-Quran di bulan tersebut. Justeru, jika bacaan Al-Quran sudah lama ditinggalkan, mulalah berlatih semula membacanya sambil memperelokkan bacaan.

Demikian tujuh perkara yang boleh anda lakukan bermula dari bulan Rejab ini. Perkara yang baik juga perlukan persediaan, jadi mari kita sama-sama bersedia agar gaya hidup di bulan Ramadan akan lebih sihat dan fokus dapat diberikan kepada amal ibadah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami