Gaya Hidup

Rezeki Luas Kerana Hubungan Kekeluargaan Dipelihara

Oleh Natirah Azira  •  24 Jan 2023  •  2 min baca

Sekian banyak tips yang kita dengar saban hari tentang bagaimana untuk menambah sumber pendapatan, mengurus kewangan dan kehidupan supaya hidup lebih tenang.

Ada yang mengambil jalan usaha membeli buku-buku berkaitan kemahiran, mendengar ceramah motivasi dan tidak kurang juga yang berguru dengan orang yang sudah berpengalaman melakukan pelbagai jenis perniagaan.

Benarkah Rezeki Suami Datang Dari Reda Isteri?

Namun, timbul pula kata-kata seperti rezeki lelaki dan suami datang dari reda isteri. Hal ini banyak diperkatakan oleh pempengaruh media sosial mahupun yang menggelar diri mereka sebagai ‘couch’ perniagaan dan kewangan.

Menurut penerangan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan, hal ini perlu diteliti dan tidak boleh diambil secara ‘permukaan’ sahaja.

Pertama, memang ada dalil yang mengatakan bahawa rezeki seseorang itu bergantung kepada hubungan baiknya sesama manusia khususnya ahli keluarga. Oleh kerana isteri juga tergolong dalam keluarga, maka perlakuan baik kepada isteri boleh dikira sebagai sebab rezeki diluaskan oleh Allah. Ia adalah sebab dan musabbab, bukan semata-mata punca hadirnya rezeki seseorang.

Hal ini bermaksud rezeki suami atau seseorang lelaki bukan terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung, tetapi Allah yang berkuasa memberi atau menahan rezeki seseorang. Segala apa yang ada di langit dan di bumi milik mutlak Allah SWT dan Allah yang menjamin rezeki kesemua makhluknya baik manusia mahupun jenis makhluknya yang lain.

Kunci Keluasan Rezeki Adalah Pada Hubungan Baik Dengan Kaum Keluarga

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan ditambah  hidupnya, maka sambunglah hubungan kekeluargaan.” (Riwayat Al-Bukhari, no. 5986 dan Muslim, no. 2557)

Hubungan kekeluargaan ini termasuklah dengan ibu bapa, adik-beradik, isteri atau suami, serta saudara mara yang lain. Ramai yang berkongsi di media sosial tentang hubungan kekeluargaan dengan saudara mara yang renggang setelah meningkat dewasa, bahkan ada yang sudah lama tidak berjumpa.

Logiknya, kita lebih mudah menyapa dan berbuat baik dengan orang yang kerap kita jumpa seperti jiran dan rakan di tempat kerja. Namun, ketahuilah bahawa hubungan dengan kaum kerabat atau saudara mara juga ada istimewanya. Suatu ganjaran akan lebih berharga jika jalan untuk memeliharanya susah, bukan?

Ada juga yang lebih murah hati dengan rakan di tempat kerja berbanding keperluan pasangan dan anak-anak sendiri. Tidak salah untuk jadi pemurah, tetapi nilailah jika layanan kita seimbang. Kerana baginda berkata, orang yang terbaik adalah yang melakukan kebaikan kepada ahli keluarganya. Jangan sampai kita zalim kepada ahli keluarga sendiri, kerana di situlah letaknya kunci keluasan rezeki.

Sumber:

Muhammad Shahrulnizam Muhadi. (2021). Al-Afkar #113: Rezeki Suami Datang Dari Redha Isteri. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami