Site icon Tazkirah

Syurga Dan Neraka Sendiri Berdoa Kepada Orang Yang Memohon Hal Ini Daripada Allah

Berapa banyak kisah yang kita dengar tentang doa-doa yang berkat dan mustajab? Kita pernah mendengar tentang malaikat yang mendoakan orang yang berdoa untuk orang lain. Selain itu, ada juga penceritaan bahawa seluruh makhluk termasuk semut dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajar kebaikan kepada orang lain. Bunyinya aneh tetapi semua cerita ini bersumberkan hadis yang sahih.

Tetapi, pernahkan anda dengar tentang syurga dan neraka sendiri pun boleh berdoa kepada Allah SWT! Ya, syurga dan neraka sendiri pun boleh berdoa kepada Allah. Bagaimana untuk didoakan dua makhluk Allah ini?

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ الْجَنَّةُ اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ‏.‏ وَمَنِ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ النَّارُ اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ ‏”‏

“Dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang meminta kepada Allah syurga sebanyak tiga kali, maka syurga akan berkata, “Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga.”. Dan siapa yang memohon perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, maka neraka akan berkata, “Ya Allah, lindungilah dia dari neraka.” (HR. Tirmizi, no.2572 – Status hadis sahih)

Mudah rupanya. Hanya berdoa memohon kepada Allah agar dianugerahkan syurga dan dijauhkan daripada neraka. Malah Rasulullah SAW berkata jika ingin meminta syurga, mintalah syurga yang terbaik tarafnya.

“…apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah Al-Firdauus, sesungguhnya syurga Firdaus itulah tempat yang terbaik dan tertinggi darjatnya. Di atas Firdaus terdapat Arasy Allah dan di situlah mengalirnya sungai-sungai syurga” (HR Bukhari, no. 2790 – Status hadis sahih)

Mungkin terselit di hati kecil kita bahawa diri tidak layak untuk meminta syurga kerana banyaknya dosa, suruhan Allah yang tak dibuat dan amal yang tak dijaga. Tetapi selagi kita bergelar Muslim, kita masih berhak dengan anugerah yang memang Allah sediakan buat hamba-hambaNya. Soalnya hanya kita mahu atau tidak meminta, kita mahu atau tidak berusaha memperbaiki diri.

Sedangkan makhluk Allah syurga dan neraka sendiri telah bersedia untuk mendoakan kebaikan buat kita jika kita berdoa memintanya. Maka, mintalah dengan sepenuh hati. Mintalah dengan penuh yakin akan dikabulkan. Mintalah permintaan yang terbaik.

Exit mobile version