Inspirasi

4 Jawapan Allah Apabila Hambanya Berdoa

Oleh Natirah Azira  •  12 Jan 2023  •  3 min baca

Manusia tidak akan sunyi daripada harapan dan keinginan, sama ada yang diungkapkan oleh bibir atau hanya didiamkan di hati.

Apabila inginkan sesuatu, biasanya kita inginkan ia segera, atau suatu yang tak mengambil masa yang lama. Hatta ketika menunggu pesanan air dari kafe pun, kita tidak betah berlama-lama, apatah lagi apabila keinginan itu suatu yang besar. Itulah sifat manusia yang disebut oleh Allah SWT sentiasa tergesa-gesa.

Dengan akal, kita memikir dan menimbang tara adakah apa yang kita mahu baik untuk diri atau tidak. Semakin kita merasakan bahawa ia bermakna, bagus dan bermanfaat buat diri, semakin kita menginginkannya. Namun penilaian Allah SWT tidak sesingkat itu, bahkan Maha Luas. Ada jawapan tersembunyi di sebalik doa-doa yang tiba kepadaNya. Apabila seseorang hamba meminta, Allah akan menjawab dengan empat cara.

#1 – Allah Akan Mengabulkan Segera

Ada doa yang Allah akan kabulkan segera, hatta hanya satu lintasan hati sahaja. Pernah bukan, kita dengar cerita orang yang cepat sekali doanya dikabulkan Allah. Ingin pergi Haji tetapi belum cukup simpanan, tiba-tiba ada orang yang mencukupkan kos perjalanan. Ada pula orang yang perlukan pertolongan terus sahaja tiba bantuan dari orang yang tak disangka-sangka.

#2- Ya, Tapi Pada Masa Yang Tepat

Allah juga akan menjawab ‘ya’ kepada doa ini tetapi akan ditangguhkan hingga ke masa yang tepat. Ada orang yang meminta jodoh yang baik, tetapi melalui berliku jalan sebelum bertemu pasangan yang tepat. Ada yang mengambil masa berpuluh tahun untuk mendapatkan zuriat. Yakinlah Allah memberi tetapi pada masa yang tepat, waktu di mana kita telah cukup bersedia menerima apa yang kita minta.

#3- Doa Disimpan (Dalam Bentuk Pahala) Di Akhirat Kelak

Seorang manusia tidak akan mengetahui bagaimana keadaan kehidupannya di akhirat kelak. Mungkin kebaikan yang dilakukan selama hidup di dunia pun tidak mampu untuk menyelamatkannya. Tetapi, Allah tahu hakikat ini lalu menukarkan doanya kepada pahala di akhirat kelak. Allah tahu dia lebih memerlukannya di sana.

#4- Doa Menjadi Perisai Musibah

Allah juga akan menjawab doa seseorang dengan menjadikannya sebagai asbab terhalang keburukan dan musibah daripada menimpa diri. Bayangkan, kita terlepas dari musibah kemalangan (terlambat atau tercepat sesaat) dari kejadian tersebut, dan hakikatnya kerana doa-doa kitalah yang menjadi penyelamat diri.

Jika difikirkan, terlalu ajaib bagaimana doa-doa ini sampai kepada Allah SWT dan dijawab dengan pelbagai cara. Selagi doa-doa kita tidak bertujuan dosa, tidak pula bertujuan memutuskan silaturahim, maka Allah akan mengabulkanya dengan cara-cara di atas, InsyaAllah.

Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara; Allah akan mengabulkan doanya dengan segera, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, Allah akan memalingkan darinya keburukan seumpamanya.

Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi SAW bersabda: “Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu.” (HR Ahmad – Sahih)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami