Dalam senarai nama-nama malaikat yang kita hafal, pernahkah anda mendengar nama Malaikat Zabaniyah? Bunyinya agak aneh tetapi malaikat ini wujud sebenarnya dan namanya ada disebut dalam Al-Quran.
“Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya). Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)! ” (Surah Al-‘Alaq, 96: 17-18)
Malaikat Yang Menolak Dengan Kasar
Jika diteliti dari sudut perbahasan bahasa dari Tafsir Al-Baghowi (8/481), perkataan Zabaniyah ini adalah kata jamak bagi perkataan asalnya ‘Zibn’ yang bererti menolak. Malaikat Zabaniyah ini akan menolak dengan keras para penghuni neraka ke dalam neraka. Menurut penerangan ahli tafsir Ibnu Katsir pula, Malaikat Zabaniyah ialah malaikat azab.
Menurut Abu Laits as-Samarqandi, beliau menerangkan bahawa malaikat ini dinamakan sedemikian kerana mereka mengerjakan tugas dengan kaki mereka, sebagaimana mereka mengerjakannya dengan tangan mereka (Tafsir Al-Qurtubi, 20/126).
Asbabun Nuzul (Sebab-sebab Diturunkan Ayat)
Dari sudut sebab ayat ini diturunkan pula adalah kerana satu peristiwa yang berlaku antara Rasulullah SAW dan Abu Jahal. Pada suatu hari, baginda solat berdekatan maqam Ibrahim. Ketika Abu Jahal mengetahui hal ini, Abu Jahal berkata:
“Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad sedang solat di dekat Kaabah, aku benar-benar akan memijak lehernya”
Kata-kata ancaman ini sampai ke pengetahuan Nabi SAW lalu baginda bersabda:
“Jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).”
Dalam jalur riwayat yang lain seperti yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Imam At-Timizi, serta Imam An-Nasi dan Ibnu Jarir, dari Ibnu Abbas, bahawa ketika Rasulullah SAW solat di maqam Ibrahim, Abu Jahal melewati Nabi SAW, dan mengancam baginda. Ancaman ini dibalas pula oleh Rasulullah SAW. Lalu Abu Jahal berkata:
“Wahai Muhammad, dengan apakah engkau mengancamku? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah penduduk lembah ini yang paling banyak sokongannya.”
Lalu Allah SWT menurunkan ayat 17 dan 18 dari Surah Al-Alaq untuk menjawab persoalan Abu Jahal, bahawa ada Malaikat Zabaniyah yang akan mengheretnya ke neraka dan mengazabnya.
Ibnu Abbas berkata bahawa sekiranya Abu Jahal benar-benar memanggil golongannya (pengikut dan penyokongnya), nescaya saat itu juga malaikat azab akan mengambilnya. (Imam At-Tirmizi mengatakan periwayatan ini hasan sahih)
Itulah Malaikat Zabaniyah, yang tugasnya menarik golongan-golongan yang ingkar kepada Tuhan ke neraka dan mengazab dengan azab yang keras. Semoga kita dijauhkan daripada kesesatan dan diselamatkan daripada azab seksa di hari akhir kelak. Amin.
Sumber:

