Oleh Natirah Azira • 11 Jan 2023 • 2 min baca
Takabbur atau sombong adalah sikap yang tercela dalam Islam. Orang yang mempunyai hatta sebesar zarah kesombongan dalam diri diancam tidak akan masuk syurga. Namun persoalannya, takabbur dalam hal apa?
Adakah orang yang selalu memakai baju yang cantik dan mahal dikira orang yang sombong? Adakah orang yang suka naik kereta yang bagus dikira takabbur?
Keadaan di atas tidak dikira sombong, kerana hakikatnya Allah juga sukakan perkara yang cantik. Jika niatnya memakai barang tersebut hanya untuk menikmati kualiti dan kecantikan tanpa berasa bangga diri daripada orang lain, tidak jadi masalah. Tetapi yang dikira takabbur adalah orang yang menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain. Itulah makna takabbur yang sebenarnya.
Dari Abdullah bin Mas’ud RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga, orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah dari kesombongan.” Seorang laki-laki bertanya, “Sesungguhnya laki-laki menyukai apabila baju dan kasutnya bagus – cantik (apakah ini termasuk kesombongan)?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai yang cantik, kesombongan itu menolak kebenaran dan meremehkan (merendah-rendahkan atau menghina) manusia.” (HR Muslim, no.131 – Status Hadis Sahih)
Menolak kebenaran hakikatnya apabila seseorang itu tidak mematuhi dan hatinya menentang apa yang telah Allah perintahkan, seperti mana iblis yang tidak tunduk kepada Adam (seperti diperintahkan Allah SWT), Allah menyebut iblis sebagai makhluk yang melakukan ‘kesombongan’.
Manakala orang yang merendah-rendahkan manusia pula selalu berasa dirinya lebih baik daripada orang lain, sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Antara bentuk kesombongan kepada manusia ialah sombong dengan pangkat dan kedudukan, sombong dengan harta yang dimiliki, sombong dengan kefahaman dan pengetahuan yang dicari, sombong dengan bentuk tubuh badan yang sihat dan cantik dan pelbagai lagi.
Sedangkan segala kelebihan itu datang dari Allah. Tidak ada yang berbaki pada manusia jika kelebihan telah dicabut; kecantikan telah hilang, badan telah ditimpa sakit, ilmu semakin dilupai dan harta juga semakin berkurang.
Islam telah sempurna dengan segalanya untuk memandu hidup manusia. Ada larangan, ada ancaman, ada suruhan, dan ada juga anjuran. Semoga mata hati kita terbuka melihat betapa besar kasih sayang Allah di sebalik semua perkara ini.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. (2022). Jauhilah Sikap Sombong. Muslim.or.id
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.