Oleh Natirah Azira • 9 Jan 2023 • 2 min baca
Sedekah adalah amalan kebajikan dengan cara memberikan sesuatu kepada orang tanpa mengharapkan pembalasan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sedekah umpama pelaburan yang tak dapat kita lihat. Kita melaburkan sebahagian harta untuk kegunaan orang lain, dan keuntungannya akan diraih semula dalam pelbagai bentuk, boleh jadi di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Sedekah tidak terhad kepada duit atau barang sahaja malah boleh jadi apa sahaja hatta sebutir kurma. Namun, tahukah anda pahala sedekah adalah paling besar apabila sedekah diberikan dalam tiga keadaan. Sebelum itu, mari kita baca dahulu kisah di bawah.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya;
“Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya? Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takut menjadi miskin dan engkau bercita-cita menjadi kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di halkum (yakni kamu hampir mati) baru kamu berkata, sekian banyak harta untuk sekian, sekian banyak harta untuk sekian. Sedangkan harta itu telah menjadi milik si fulan (waris).” ( HR. Bukhari, no.1330 – Status hadis sahih)
Hadis di atas membawa mesej agar bersegera melakukan sedekah terutamanya ketika dalam tiga keadaan:
1. Ketika badan masih sihat dan hati sangat kedekut
2. Takut menjadi miskin
3. Masih bercita-cita untuk menjadi kaya
Tiga perkara yang disebutkan di atas sangat ironi bukan? Bukankah sedekah perlu dilakukan dengan rasa lapang dan senang. Namun kata Imam al-Nawawi, manusia biasanya akan merasa kedekut dalam keadaan dia sihat dan masih ada keinginan untuk menjadi kaya. Mereka cenderung menyumbang hanya ketika ditimpa sakit dan sudah memenuhi cita-cita yang diinginkan sahaja.
Justeru, keadaan yang sangat menduga hati manusia inilah yang menjadikan pahala sedekah itu lebih bermakna.
Hadis ini secara tidak langsung juga mengingatkan bahawa mati tidak menunggu sesiapa, dan tidak diketahui bila. Kerana ketidakpastian inilah, seseorang perlu sentiasa bersegera bersedekah.
Ketika sakit, biasanya keperluan untuk menggunakan duit lebih besar berbanding sedang sihat. Rawatan perlu dibayar dan ubatan perlu dibeli. Dalam masa sama, hati pula jadi lebih ringan untuk bersedekah kerana tidak harta benda yang boleh mengatasi nikmat kesihatan ketika itu. Manusia juga menyedari hakikat duit yang banyak tidak dapat dibawa hingga ke mati, bahkan menjadi harta waris pula selepas itu.
Marilah kita bercita-cita untuk bersedekah dalam keadaan badan masih sihat dan masih kuat mencari rezeki. Duit boleh dicari, namun kemampuan untuk bersedekah tidak selamanya mudah.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.