Keluarga

9 Syarat Yang Perlu Difahami Untuk Rumah tangga Bahagia

Oleh Natirah Azira  •  5 Jan 2023  •  3 min baca

Rumah tangga bagaimanakah yang anda ingin bina bersama pasangan? Sekalipun sudah berpuluh tahun berkahwin, tidak mustahil sebenarnya untuk memperbaharui semula hubungan suami isteri agar kebahagian lebih terasa. Tidak kira usia perkahwinan masih muda atau lama, sembilan perkara di bawah perlu diperhatikan.

#1- Pasangan Anda Ada Kelemahan

Orang yang anda nikahi adalah seorang manusia yang ada kelemahan. Banyak kelemahan yang belum terzahir semasa anda bercinta, contohnya bangun lambat, tidur berdengkur, atau liat membantu kerja rumah. Namun, didiklah pasangan perlahan-lahan dan jangan hanya melihat kepada kelemahannya.

#2- Elakkan Menggali Semula Kesalahan Lampau

Setiap orang ada kisah silam masing-masing. Tidak ada orang yang benar-benar sempurna. Jika anda kerap menggali kesalahan lampau pasangan atau apa yang dilakukan pada masa lepas, hati akan sentiasa bimbang dan tidak tenang. Jika pasangan sudah benar-benar berubah, maka tumpukanlah kepada masa sekarang. Islam juga melarang seseorang memberitahu keaiban dan dosa yang pernah dilakukan.

#3- Setiap Rumah tangga Akan Hadapi Cabaran

Rumah tangga seperti belayar dalam kapal di lautan. Ada masanya laut tenang, dan ada juga masa badai melanda. Kuatlah demi rumah tangga yang anda sayangi, pertahankanlah bersama-sama. Tetaplah bersama-sama pasangan semasa susah dan senang.

#4- Jangan Bandingkan Rumah tangga Anda Dengan Orang Lain

Perangkap kepada masalah rumah tangga ialah membandingkan rumah tangga anda dan orang lain yang anda lihat hanya di media sosial. Setiap satunya tidak akan sama. Jika anda kerap membandingkan, anda hanya akan sentiasa rasa tidak cukup. Apa kata sama-sama lengkapkan apa yang kurang?

#5- Anda Harus Tahu Musuh Sebenar Bagi Rumahtangga

Apabila berlaku konflik dalam rumah tangga, anda perlu sentiasa meneliti apakah musuh sebenar yang dapat menggugat keharmonian rumah tangga. Musuh tersebut boleh jadi:

-rasa tidak hormat
-tindakan biadap
-perbuatan curang
-kurang menzahirkan kasih sayang
-kurang penghargaan
– kata-kata daripada orang luar
– sikap kedekut

dan sebagainya. Kenal pasti punca sebenar dan perangi ia.

#6- Setiap Rumahtangga Tidak Sempurna

Anda tidak masuk ke dalam rumah tangga dengan keadaan yang serba lengkap dan cukup. Tidak ada perkara yang namanya ‘ready-made’ atau sudah siap tersedia. Rumah tangga sentiasa perlukan pemeriksaan, pembaikan dan pembangunan.

#7- Anda Tidak Dapat Mengawal Semua Perkara

Fahamilah bahawa anda tidak dapat mengawal semua perkara dalam rumah tangga. Anda tidak dapat menjangkakan kesemua perkara di masa hadapan. Mungkin ada kesusahan yang akan menanti di hadapan – pasangan kehilangan kerja, ditimpa sakit atau anda sukar mendapat anak. Kesemua ujian ini memerlukan anda membina kekuatan dalaman dan sentiasa mendekatkan diri dengan pencipta.

#8- Rumahtangga Perlukan Komitmen

Apabila anda bersetuju untuk berkahwin dengan pasangan, maksudnya anda sudah bersedia untuk memberikan komitmen untuk menjayakan perhubungan. Ia bukan kerja keras sebelah pihak sahaja.

Jika semasa bercinta, hanya sebelah pihak yang bersungguh-sungguh dan beriya, tetapi dalam rumah tangga ia memerlukan usaha keras kedua-duanya. Anda tidak boleh lagi hanya mengharapkan pasangan yang selalu memujuk, menasihati, dan membelikan sesuatu. Anda juga harus buat perkara yang sama.

#9- Suburkan Kemaafan Dan Usah Berdendam Dengan Pasangan

Pasangan akan kerap melakukan kesalahan dan kesilapan sepanjang perjalanan perkahwinan. Jika kesalahan tersebut adalah kesalahan-kesalahan kecil yang masih dapat anda kompromikan, maka berilah kemaafan dan usah berdendam dengan pasangan.

Kesimpulannnya, tidak ada perhubungan yang statik dan tidak berubah. Seiring pertambahan usia yang membawa kepada perubahan diri anda, hubungan rumah tangga juga perlu berkembang dengan lebih baik. Perhatikanlah sembilan perkara yang telah digariskan di atas dan kemudilah bahtera rumah tangga anda menuju bahagia hingga ke penghujungnya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami