Pernahkah anda menasihati dan menegur seseorang? Bagaimana cara anda menasihati mereka? Adakah ia membawa kepada perselisihan dan permusuhan?
Perbalahan sering terjadi disebabkan perselisihan faham, salah sangka atau memang benar-benar ada kesalahan yang berlaku sama ada dari pihak anda atau pihak sebelah sana. Kemudian, tidak ada yang mahu beralah kerana masing-masing rasa diri betul.
Perselisihan yang pada awalnya kecil menjadi besar dan berlarutan. Anda dan dia akhirnya bermusuhan. Ada satu hadis tentang perkara ini yang disebut oleh baginda SAW:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ
Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan. (HR Muslim No: 2668 – Status hadis sahih)
Berpandukan keterangan daripada Muhammad Fuad Abdul Baqi dalam Syarh Sahih Muslim, perkataan الْأَلَدُّ (Al-‘alad) di penghujung ayat dimaksudkan dengan permusuhan yang keras. Manakala perkataan الْخَصِمُ (Al-khosim) pula bermaksud permusuhan atau penentangan yang salah sekalipun tujuannya untuk menegakkan kebenaran atau menentang kebatilan.
Ia bermakna, perkara yang dibenci Allah bukan hanya tentang hal-hal yang batil sahaja, bahkan golongan yang ingin menegakkan kebenaran dengan cara yang salah. Contohnya menegur dengan kasar di khalayak ramai, menegur dengan cara merendah-rendahkan atau menghina dan sebagainya.
Hal ini yang patut difahami oleh semua umat Islam, bahawa agama Islam sentiasa menekankan ihsan iaitu sebaik-baik cara dalam apa jua tindakan. Berapa ramai umat pada hari ini yang tidak memami prinsip asas ini dalam menyebarkan kebaikan, bahkan dengan cara yang tidak menggambarkan kemurnian dan kesucian Islam yang sebenar.
Nilailah cara yang kita guna dalam menyampaikan mesej Islam. Adakah selalu tidak diterima, atau sering mencetuskan perbalahan. Jika hal yang sama terjadi, mungkin ada silap sendiri yang tidak disedari. Tidak salah mengaku salah, dan tidak perlu menuding jari kepada kesalahan orang lain. Fokus dahulu kepada perubahan diri sendiri.
Akhirnya yang mampu kita ubah adalah diri sendiri. Benar, kita perlu menyampaikan teguran dan nasihat. Selepas menasihati, tidak perlu lagi saling bertikam lidah bagi menegakkan kebenaran. Kewajipan kita hanya memberi pesan, penerimaan mereka adalah hidayah daripada Tuhan.

