Oleh Natirah Azira • 4 Jan 2023 • 2 min baca
Rambut panjang ke paras bahu atau pendek (bagi lelaki) kedua-duanya merupakan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ada masa Nabi SAW berambut pendek dan ada juga masa baginda berambut panjang.
Tapi, pernah atau tak kita berfikir macam mana pula ketika baginda solat? Adakah Nabi SAW mengikat rambut baginda ke belakang? Dalam hal ini, adakah mengikat rambut ketika solat dibolehkan?
Bagi memahami hal ini, pihak Tzkrh telah merujuk kepada penerangan pihak mufti wilayah.
Diceritakan bahawa Ibnu Abbas ada melihat seorang sahabat iaitu Abdullah bin al-Harith yang solat dalam keadaan rambutnya diikat ke belakang. Ibnu Abbas lalu bangun menuju ke arah sahabat ini dan melepaskan ikatan rambut tersebut.
Apabila selesai solat, Abdullah bertanya Ibnu Abbas mengapa dilakukan sedemikian, lalu Ibnu Abbas menjawab bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.” (Cerita ini terkandung dalam hadis Riwayat Muslim, no. 1129)
Namun, golongan lelaki perlu berhati-hati agar rambut di bahagian depan kepala tidak terjurai sehingga menutup dahi. Mereka boleh memakai kopiah, serban atau songkok untuk mengelakkan hal ini, manakala bahagian rambut belakang boleh dilepas begitu sahaja.
Jika tetap ingin mengikat rambut, perlu juga diperhatikan adakah ia boleh sampai kepada tahap menyerupai wanita. Jika menyerupai wanita, maka hal ini seeloknya ditinggalkan. Hukum solat yang ditunaikan masih sah, tetapi hukum mengikat rambut sebegitu jatuh ke tahap makruh tanzihi iaitu amalan yang tidak disukai dan seeloknya ditinggalkan tetapi tidak mencapai tahap berdosa.
Wallahua’lam.
Sumber:
Admin PMWP. (2019). Al- Kafi #1122: Solat Dengan Mengikat Rambut. Mufti WIlayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.