Gaya Hidup

4 Adab Dan Etika Pilihanraya Menurut Islam

Oleh Tim Tazkirah  •  16 Nov 2022  •  2 min baca

Semakin dekat pilihanraya, semakin meriah media sosial dengan perkongsian manifesto, poster-poster, kata-kata semangat mahupun ulasan para penyokong parti politik masing-masing.

Namun, tidak kurang dilihat komen dan ulasan berbaur kata-kata kesat termasuk tohmahan atau berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Awas umat Islam sekalian, kita tidak mahu dipengerahui semangat dan emosi semata-mata dalam berpolitik sehingga mengenepikan prinsip dan nilai Islam. Berikut empat nilai Islam yang boleh dijadikan panduan dalam kita mengharungi musim pilihanraya ini.

#1- Ucapkan Perkataan Yang Baik Atau Diam

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah mengucapkan perkara yang baik atau diam” [Riwayat al-Bukhari (6018)]

Dalam kita menegakkan hujah bagi menyokong seseorang, hendaklah kita menggunakan perkataan yang baik, tidak mencaci maki. Jika dirasakan perasaan tidak mampu dikawal dengan baik, maka lebih baik ambil masa dan diam bagi menenangkan diri.

#2- Memastikan Kesahihan Cerita Sebelum Menyebarkan

“Tidak akan masuk syurga qattat (golongan yang membawa cerita sedangkan dia hanya mendengar-dengar daripada orang lain tanpa diketahui pucuk-pangkal cerita tersebut).” [Sahih al-Bukhari (6056)]

Maklumat yang disebarkan pula hendaklah dipastikan kebenaran sebelum dikhabarkan kepada orang lain. Seandainya telah terlepas pandang, pohon maaf atas kesilapan diri, padam kenyataan yang salah bagi mengelakkan fitnah serta bertaubatlah kepada Allah SWT.

#3- Tidak Memberi Dan Menerima Rasuah

Abdullah bin Amr RA, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah” [Riwayat Ibn Majah (2313)]

Memancing undi dengan cara memberikan sogokan atau rasuah tidak kira dalam bentuk wang atau hadiah adalah hal yang dilarang dalam Islam dan jelas tidak beretika. Ia juga tidak sepatutnya jadi budaya rakyat Malaysia.

#4- Menunaikan Solat Sunat Istikharah

Dalam sebuah hadis yang sahih, Jabir bin Abdullah pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengajarkan para sahabat agar memohon istikharah dalam apa jua urusan, iaitu dengan bersolat sunat dua rakaat, dan meminta panduan dalam membuat pilihan.

Begitu juga dalam hal memilih pemimpin yang akan menerajui negara. Kita mungkin keliru dengan maklumat yang dijumpai di media sosial serta cakap-cakap orang. Setelah menimbang tara keputusan, maka tunaikanlah solat sunat istikharah.

Kesimpulan

Setiap daripada kita memainkan peranan yang penting dalam pilihanraya ini. Satu undian, walaupun kecil adalah satu usaha untuk kita memilih pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab dan menunaikan amanah buat rakyat dan negara umumnya. Semoga Allah SWT menganugerahkan keamanan dan keharmonian kepada negara kita, Malaysia yang tercinta.

Rujukan:

Luqman Tarmizi. (2022). Bayan Linnas Siri Ke-260: Etika Dan Adab Pilihan Raya. Mufti Wilayah Persekutuan.

https://muftiwp.gov.my/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/5438-bayan-linnas-siri-ke-260-etika-dan-adab-pilihan-raya

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami