Inspirasi

Adakah Anda Hidup Dalam Rasa Bersalah?

Oleh Natirah Azira  •  16 Nov 2022  •  2 min baca

Ada yang menggambarkan perasaan bersalah seperti rasa yang mencucuk dan berat di dada. Ada yang menyebut seperti rasa yang tersekat di kerongkong. Ada yang mengatakan ia seperti hati yang tidak tenang, atau rasa keluh kesah.

Bagi anda rasa bersalah itu bagaimana?

Setiap orang saya pasti pernah rasa perasaan bersalah, tidak kira sedikit atau banyak. Ia biasanya terkait dengan tanggungjawab, kehendak, harapan atau anggapan orang yang tidak dapat kita penuhi. Lebih bermakna orang itu pada kita, maka lebih besarlah rasa bersalah yang terkumpul.

Cukup mudah sebenarnya untuk kita memandang ke belakang dan mempersoalkan tindakan-tindakan yang lepas.

‘Kenapa aku buat begini, kenapa tak buat begitu’

‘Kalau aku tak buat macam tu, mesti tak jadi macam ni’

Tindakan berkalau-kalau inilah juga yang dilarang agama. Mengapa? Kerana ia membuka pintu kesedihan, hilang harapan dan mungkin kebencian yang sukar nak dihilangkan.

Kita tidak membenarkan diri untuk bahagia walau diri sudah berubah menjadi lebih baik. Tanpa sedar, kita menghukum diri. Lebih berat lagi, kita mungkin mempersoalkan takdir yang Tuhan telah tetapkan.

Tetapi, tidak adil sebenarnya menghukum diri kita yang lalu, yang 3, 5 atau 10 tahun yang lalu. Itu diri kita yang bukan kita yang sekarang. Tidak adil menyalahkan diri dahulu yang mungkin masih polos, masih tidak faham, masih tidak berani, masih mengikut perasaan atau masih belum dapat membuat penilaian dan tindakan yang sesuai.

Kita tidak boleh menyalahkan diri atas apa yang belum kita tahu pada waktu itu. Kita bertindak atas kapasiti dan penilaian pada waktu itu sahaja.

Hakikatnya, diri kita dibentuk oleh pengalaman. Kita mungkin menjadi diri kita yang sekarang, yang lebih matang dan jernih berfikir disebabkan pilihan-pilihan yang telah dibuat pada masa lepas. Ya, proses pembelajarannya lama. Tetapi, rasanya lebih berharga bukan?

Proses ini akan berulang. Pada masa depan, kita akan kembali berfikir ‘mengapa aku buat pilihan begitu dulu’, tetapi inilah diri kita pada masa sekarang, dalam kemampuan dan kapasiti kita. Jika ada yang ingin diubah, sekaranglah masanya. Tetapi hasil di penghujung (pada masa depan), tetap tidak akan sempurna persis yang kita harapkan. Kita hanya manusia biasa, yang tidak boleh lupa tentang takdir dan perjalanan yang juga diatur Tuhan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami