Ibadah

Allah Mencintai Orang Yang Mencintai Surah Al-Ikhlas

Oleh Natirah Azira  •  11 Nov 2022  •  2 min baca

“Asyik baca Surah Al-Ikhlas je. Takkan tak hafal surah pendek yang lain?”

“Daripada sekolah rendah, takkan surah ini je yang ingat”

Pernah kan kita mendengar komen-komen seperti ini. Atau mungkin menggumam sendiri dalam hati jika kawan yang mengetuai solat jemaah sering sahaja mengulangi bacaan surah pendek itu.

Ada juga baru-baru ini pihak Tzkrh melihat komen pengguna media sosial yang mengatakan ciri-ciri bakal suami yang diingini bukan yang hanya tahu Surah Al-Ikhlas sahaja.

Dari satu sudut ada mesej yang ingin disampaikan, iaitu ingin umat Islam sentiasa menambah ilmu dan kualiti dalam ibadah. Namun, hati-hati, jangan sampai kita meleceh atau memperlekehkan amalan tersebut. Ada beza antara menasihati kerana ingin orang itu menambah amal dengan memandang rendah orang yang hanya membaca Surah Al-Ikhlas.

Ada satu kisah menarik tentang Surah Al-Ikhlas yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha.

Diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan perang. Dan ketika orang tersebut mengimami sahabat-sahabatnya solat, dia sering mengakhiri bacaan dengan Surah ‘Qul Huwallahu Ahad’ iaitu Surah Al-Ikhlas.

Kemudian, apabila sahabat-sahabat ini pulang, mereka menceritakan perihal itu kepada Rasulullah SAW. Baginda lalu menyuruh mereka bertanya kepada orang itu sendiri mengapa melakukan hal tersebut.

Apa yang dijawab? Beliau menjawab kerana surah tersebut mengandungi sifat Al-Rahman, dan dia sangat mencintai surah Al-Ikhlas ini.

Lalu Nabi SAW membalas; “Beritahu beliau, sesungguhnya Allah pun mencintainya”

Kisah ini ada dinukilkan dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari (7375).

Sahabat Nabi SAW ini membaca Surah Al-Ikhlas kerana benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam surah ini, sehingga ke tahap mencintai kalam Allah itu.

Justeru, Surah Ikhlas dibaca bukan hanya kerana ia mudah dibaca tetapi kerana kekayaan makna yang terkandung di dalamnya.

Orang yang hanya membaca Surah Al-Ikhlas pula usah menjadikan rasa malas sebagai alasan untuk tidak ‘upgrade’ diri dan mendalami surah ini dan surah-surah lain.

Tidak salah untuk kita menggalakkan orang untuk juga membaca dan menghafal surah-surah yang lain, tetapi dalam masa sama usah memandang remeh dengan surah ringkas ini. Setiap surah pasti ada keistimewaannya yang tersendiri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami