Hukum

Status Hadis – 3 Perkara Yang Boleh Menimbulkan Kasih Sayang

Oleh Natirah Azira  •  7 Nov 2022  •  2 min baca

Apa yang membuatkan anda suka atau selesa dengan seseorang? Adakah cara mereka bercakap, intonasi suara atau apa yang mereka berikan kepada anda?

Anda pasti ada jawapan sendiri, dan mustahil anda hanya ada satu jawapan sahaja.

Banyak perkara sebenarnya yang boleh menimbulkan rasa kasih sayang antara manusia, lebih-lebih lagi bagi orang yang tahu menilai dan menghargai.

Dikatakan bahawa amalan yang boleh menimbulkan rasa kasih sayang ini ada disebut juga dalam satu hadis yang berbunyi sebagaimana berikut:

“Tiga perkara yang akan memurnikan buatmu kasih sayang saudara kamu: Kamu memberi salam kepadanya apabila berjumpa dengannya, kamu melapangkan ruang buatnya dalam majlis, dan kamu memanggilnya dengan nama yang paling dia sukai.”

Ketiga-tiga amalan di atas jika dilihat tidak ada percanggahan pun dengan saranan oleh Allah dan rasulNya. Memang umat Islam dianjurkan memberi salam, malah membalas salam dengan ucapan yang penuh. Selain itu, ada larangan yang tegas tentang perbuatan mencela atau memanggil seseorang dengan nama yang tidak dia sukai.

Walau bagaimanapun, daripada sudut taraf hadis itu sendiri, hadis di atas disebut oleh Syeikh Mashhur bin Hasan Al-Salman dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu, dan ia bertaraf munkar. Justeru, pesanan tersebut tidak boleh disandarkan kepada kata-kata Nabi SAW.

Hadis lain yang lebih sahih dan mengandungi mesej yang sama ialah;

“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. [Riwayat Muslim, no. 81]

Salam bermaksud kesejahteraan. Menyebarkan salam bukan hanya dengan ucapan semata-mata malah memaknai ucapan salam yang diberikan, iaitu mengharapkan kesejahteraan ke atas saudara Islam kita dengan menjaga hubungan, tidak mengganggu mereka dan menolong jika diperlukan sehingga mereka benar-benar rasakan sejahtera. Dari sinilah, rasa kasih sayang akan semakin subur antara umat Islam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami