Ibadah

Banyak Cakap, Banyak Salahnya – Baca Doa Ini Setelah Bersurai Dari Suatu Majlis

Oleh Natirah Azira  •  7 Nov 2022  •  2 min baca

Majlis ialah tempat berkumpulnya orang ramai untuk suatu tujuan contohnya majlis ilmu atau majlis keraian. Jika majlis ilmu, kita tahu bahawa ia bertujuan untuk mendapatkan peringatan dan mengingati Allah. Banyak kelebihan yang disebutkan dalam hadis tentang kelebihan berada dalam majlis ilmu seperti dinaungi rahmat oleh para malaikat dan mendapatkan ketenangan.

Manakala dalam majlis yang lebih umum seperti majlis keraian, ia lebih terbuka dan mungkin dihadiri oleh pelbagai orang. Majlis tidak semestinya besar atau diadakan di dewan dan tempat yang khas, bahkan sesi makan-makan di restoran atau ‘picnic’ yang dibuat di taman juga boleh dikatakan sebagai majlis.

Cuma adat bila berkumpul, maka banyaklah perkara yang akan dibicarakan. Kadang-kala sehingga melibatkan sesi ‘membawang’ atau mengumpat.

Walaupun hal tersebut tidak disedari atau disengajakan, tetapi ada satu amalan yang disebutkan seharusnya dibuat sebelum seseorang bersurai daripada majlis, iaitu membaca doa memohon keampunan atas keterlanjuran diri jika terlalu banyak bercakap hal-hal yang tidak bermanfaat atau bersenda gurau. Doa ini juga dipanggil doa kaffaratul majlis atau penutup majlis.

وعن أبى هريرة رضى الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ‏ “‏من جلس في مجلس، فكثر فيه لغطه فقال قبل أن يقوم من مجلسه ذلك‏:‏ سبحانك اللهم وبحمدك، أشهد أن لا إله إلا أنت، أستغفرك وأتوب إليك، إلا غفر له ما كان في مجلسه ذلك‏”‏ ((‏‏رَوَاهُ التِّرمِذِيُّ وَقَالَ حَدِيثٌ حَسَنٌ صحيح)).‏

Abu Hurairah RA. bersabda, “Barangsiapa yang duduk di suatu majlis lalu banyak senda guraunya (perkataan yang tidak bermanfaat untuk akhiratnya), maka hendaklah ia mengucapkan sebelum bangun dari majlisnya itu;

‘Subhaanakallohumma wa bihamdika, asy-hadu alla ilaaha illa anta, astaghfiruka wa atuubu ilaik’

(Mahasuci Engkau, wahai Allah, dan dengan memujiMu, aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Engkau. Aku meminta ampun kepada-Mu dan aku bertaubat kepadaMu);

Kecuali diampuni baginya dosa-dosa selama di majlisnya itu.” (HR. Tirmidzi, ia mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih).

Memang apabila berjumpa rakan-rakan atau sahabat lama, maka suasana akan jadi meriah dan rancak. Segala perkembangan diri ingin diluah dan diberitahu. Tetapi awas dan berhati-hatilah dalam berkata-kata, takut-takut apa yang dibualkan itu sudah termasuk juga perkara yang dilarang seperti mengumpat atau mengadu domba.

Allah sentiasa memberikan ruang untuk hambanya menghisab diri dan memohon ampun atas kesalahan yang dilakukan. Maka raikanlah peluang yang diberikan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami