Site icon Tazkirah

Bolehkah Mengucapkan R.I.P Kepada Orang Bukan Islam?

R.I.P singkatan kepada Rest in Peace ialah ucapan yang biasanya diucapkan sesama orang yang bukan Islam apabila berlaku kematian. Dari pemerhatian di media sosial, kadangkala ia turut digunakan oleh orang Islam kepada orang yang bukan Islam.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa Rest in Peace yang bermaksud ‘bersemadilah dengan tenang’ ialah satu bentuk doa memohon kesejahteraan, keamanan, dan ketenangan yang dilarang daripada ditujukan kepada orang bukan Islam. Seorang yang bergelar Muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana mereka adalah daripada kalangan yang tidak beriman kepada Allah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Taubah, ayat 113:

Maksudnya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

Jika doa agar mereka memperoleh hidayah dan kebaikan ketika masih di dunia maka ia dibolehkan.

Jadi, apa ucapan yang boleh diberikan kepada kenalan atau sesiapa yang menghadapi kematian dalam kalangan bukan Islam?

Islam masih menghormati orang yang berlainan agama maka Islam membenarkan umatnya mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan baik yang lain seperti: “Semoga Allah menggantikan yang lebih baik bagi kamu” atau “Semoga kamu mendapat kesabaran yang tinggi” dan lain-lain.

Isu larangan mengucapkan R.I.P kepada orang bukan Islam perlu dilihat dengan pandangan agama dan hati yang lapang, kerana walau apa pun yang menjadi logik fikiran, panduan agama tetap yang utama.

Jika masih ada ucapan yang baik yang boleh diucapkan, maka apa salahnya meninggalkan ucapan R.I.P tersebut. Justeru, apabila ada kematian orang bukan Islam yang didengari, pilihlah ucapan yang lebih sesuai.

Sumber:

Aiman bin Rafie. Al-Afkar #130 : Hukum Mengucapkan ‘R.I.P’ Kepada Orang Bukan Islam. Mufti Wilayah Persekutuan.

Exit mobile version