Tiba sahaja musim perayaan masyarakat majmuk di Malaysia, kemeriahan pasti terasa. Salah satunya ialah Deepavali yang bermaksud pesta cahaya. Ada juga perayaan lain yang akan diraikan oleh masyarakat India seperti Thaipusam dan Ponggal, masing-masing mempunyai sebab keraian yang khusus.
Masyarakat bukan berbangsa India tidak ketinggalan memeriahkan suasana terutama jika ada jemputan rumah terbuka. Malah, sesetengah majlis makan malam yang bukan pada musim perayaan juga ada menetapkan tema Bollywood yang sinonim dengan pakaian sari, lenga dan kurta.
Namun, dalam bepakaian, umat Islam perlu berhati-hati kerana ada benda yang bukan sekadar budaya atau tradisi tetapi sudah ada elemen keagamaaan. Contohnya dalam pemakaian sari, biasanya ia akan dilengkapkan dengan hiasan dan tanda di dahi seperti pottu, bindi dan tikka.
Untuk pengetahuan para pembaca, hukum memakai bindi atau dipanggil juga tilaka dan pottu (bulatan seperti titik) haram hukumnya dalam Islam kerana ia simbol identiti agama Hindu. Kebiasaannya, wanita yang sudah berkahwin akan memakai pottu ini antara kedua kening dengan warna merah, manakala yang belum berkahwin akan memakai warna hitam. Namun, ia juga telah dimodenkan sedikit dan telah dipelbagaikan warnanya.
Manakala pemakaian tikka, iaitu sejenis hiasan yang berjuntai yang dipakai pada dahi, seorang Dr berbangsa India memberi ulasan bahawa ia tidak berkaitan dengan agama tetapi hanya budaya sahaja. Beliau mengatakan bahawa ia boleh dipakai oleh umat Islam.
Walau bagaimanapun apabila pihak Tzkrh membuat semakan, tikka atau disebut juga sebagai maang tikka, turut mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam agama Hindu. Dahulu ia dipakai oleh pengantin yang akan berkahwin, dengan tujuan memberi perlindungan kepada pengantin daripada mata-mata jahat dan tenaga negatif. Namun, sebahagian masyarakat India berpendapat ia kini hanyalah perhiasan diri sahaja.
Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW telah berpesan agar kita tidak mengikuti dan menyerupai kaum agama lain.
Dari hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar.
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”. (Riwayat Abu Daud , no. 4031)
Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-68 juga telah memutuskan bahawa perkara yang boleh membawa kepada tercemarnya akidah termasuklah meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
Maka, dalam hal ini, umat Islam perlu lebih berhati-hati. Bagi mengelakkan terjatuh ke dalam perbuatan yang dilarang agama, seharusnya umat Islam perlu mengelak daripada melakukan perkara yang tidak jelas.
Rujukan:
Muhammad Fathi Noordin. (2021). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-545: Hukum Memakai Bindi Dan Sari Di Dalam Islam. Mufti Wilayah Persekutuan.
Praachi Raniwala. (2021). Tracing The Evolution of the Maang Tikka. Naturaldiamonds.com

