Ibadah

Bolehkah Tunaikan Umrah Beberapa Kali Dalam Satu Perjalanan?

Oleh Natirah Azira  •  1 Nov 2022  •  3 min baca

Menjejakkan kaki ke Baitullah al-Haram serta melihat sendiri Kaabah di depan mata ialah impian ramai yang bergelar Islam, tidak kiralah untuk tujuan menunaikan umrah atau haji.

Masing-masing berlumba tidak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah-ibadah tambahan seperti solat sunat dan bersedekah kerana keberkahan tempat tersebut. Malah disebutkan dalam satu hadis Nabi SAW yang sahih, bahawa solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain. Subhanallah! Betapa tinggi darjat ibadah di tempat istimewa ini.

Ada pula yang memilih untuk menunaikan umrah berulang kali dalam satu musim haji atau dalam tempoh sekali perjalanannya mereka ke sana. Ia biasa dipanggil umrah sunat oleh jemaah haji.

Malah ada berlegar kepercayaan bahawa umrah sunat yang dilakukan sebanyak tujuh kali akan menyamai pahala haji. Walhal, tidak ada nas yang sahih ataupun pandangan sepakat ulama yang menyatakan demikian.

Walau bagaimanapun, perbuatan mengulang-ulang umrah dalam satu perjalanan ini menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai beberapa pendapat.

Hukumnya Makruh

Pertama, sebahagian ulama mengatakan ia bercanggah dengan amalan Nabi SAW yang hanya melakukan umrah sebanyak empat kali sepanjang hidup baginda. Umrah pertama baginda ialah umrah Hudaibiyyah, kemudian umrah yang ditangguhkan bersama sahabat, ketiga umrah daripada al-Ji’ranah dan keempat ialah umrah yang digabungkan dengan haji.

Justeru, para salafussoleh mengatakan ia makruh. Walau pun begitu, para fuqaha’ Mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan ia sunat, tetapi menurut Ibnu Taimiyyah , hujah mereka tidak kuat dan hanya bersandarkan qias umum iaitu atas dasar adanya arahan agar memperbanyakkan ibadat dan kelebihan-kelebihan umrah.

Hukum Sunat & Harus

Sebahagian ulama lain pula termasuk Imam Nawawi di sisi ulama Syafi’iyyah mengatakan ia sunat dan tidak ada masalah untuk menunaikan umrah berulang kali dalam satu musim. Manakal a Ibn ‘Abd al-Barr mengatakan bahawa jumhur ulama berpandangan harus hukumnya memperbanyakkan umrah.

Pihak mufti wilayah persekutuan juga sepakat mengharuskan umrah berulang kali dalam satu perjalanan atau satu musim haji. Tambahan pula, jemaah haji yang datang jauh daripada negara lain, lebih sedikit peluangnya untuk datang semula kerana kekangan yang pelbagai.

Tawaf Sunat Lebih Afdal Daripada Umrah Berkali-kali?

Ada pula pihak yang mengatakan bahawa tawaf sunat adalah lebih afdal berbanding umrah berulang-kali, dengan bersandarkan kepada hadis di bawah:

Daripada Ibn ‘Abbās RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Allah menurunkan 120 rahmat setiap hari: 60 daripadanya adalah bagi orang-orang yang mengerjakan tawaf, 40 (rahmat) adalah bagi mereka yang mengerumuni sekeliling kaabah dan 20 daripadanya adalah bagi orang-orang yang melihat Kaabah.

Walau bagaimanapun, apabila disemak di laman web semakhadis.com, ia ternyata hadis palsu. Hadis ini terdapat dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu berjudul Silsilah al-Ahadis al-Da’ifah wal-Mawdu’ah Mujarradah ‘An al-Takhrij.

Begitu juga dengan beberapa hadis lain, antaranya yang menyatakan orang yang bertawaf keliling Kaabah selama seminggu, kemudian solat dua rakaat di belakang Makam Nabi Ibrahim, dan minum air zam-zam, maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya setahap manapun ia sampai. Hadis ini juga mempunyai status lemah.

Kesimpulan

Setelah mengetahui keterangan di atas, maka terpulang kepada diri anda masing-masing untuk memilih pandangan yang dirasakan lebih dekat dengan diri. Ulama memang berbeza pendapat, tetap mereka berhujah dengan kebijaksanaan dan ilmu yang mereka ada. Adapun tentang kelebihan-kelebihan tawaf, ia mestilah disandarkan kepada dalil-dalil yang sahih dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikaitkan dengan Rasulullah SAW.

Sumber:

Luqman Tarmizi. (2018). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-255: Hukum Umrah Berulang Kali Dalam Satu Perjalanan. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami