Solat Subuh dan Asar mempunyai keutamaan yang besar dalam Islam, sehingga dalam beberapa hadis sahih disebutkan tentang kelebihan solat pada kedua-dua waktu ini.
Walau bagaimanapun, inilah waktu manusia paling sibuk, sama ada disibukkan dengan rehat ketika hari masih gelap dan matahari belum naik, atau disibukkan dengan kerja atau perjalanan pulang dari tempat kerja ketika hari telah hampir gelap.
Kerana rasa kantuk yang sangat berat, ramai yang meninggalkan waktu solat Subuh, dan kerana badan yang terlalu penat, ramai juga yang mengabaikan solat Asar.
Kadang-kadang kita kurang mementingkan sesuatu kerana tidak tahu tentang kepentingan perkara itu. Jadi, jom kita baca apakah yang Rasulullah SAW katakan tentang solat di kedua-dua waktu ini.
#1- Jaminan Masuk Syurga
Dari Abu Musa RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ صَلَّى الْبَرْدَيْنِ دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Barangsiapa yang mengerjakan solat bardain (iaitu solat subuh dan asar) maka dia akan masuk syurga.” (HR. Bukhari no. 574 dan Muslim no. 635)
#2- Orang Yang Solat Subuh Dalam Jaminan Dan Pemeliharaan Allah
Dari Jundab bin ‘Abdillah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فَهُوَ فِى ذِمَّةِ اللَّهِ فَلاَ يَطْلُبَنَّكُمُ اللَّهُ مِنْ ذِمَّتِهِ بِشَىْءٍ فَيُدْرِكَهُ فَيَكُبَّهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ
“Barangsiapa yang solat subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, janganlah menyakiti orang yang solat Subuh tanpa jalan yang benar. Jika tidak, Allah akan menyeksanya dengan menelungkupkannya di atas wajahnya dalam neraka jahannam.” (HR. Muslim no. 657)
#3- Amalan Terhapus Jika Meninggalkan Solat Asar
Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ الْعَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ
“Barangsiapa meninggalkan solat Asar, maka terhapuslah amalannya” (HR. Bukhari no. 594)
Ibnu Qayyim berpendapat bahawa apabila solat Asar ditinggalkan pada hari-hari tertentu, maka ini menjadikan amalnya batal pada hari tersebut.
Kesimpulan
Niat, keazaman dan usaha diperlukan untuk melaksanakan ibadah dengan baik. Jika selama ini sukar untuk solat di waktu Subuh dan Asar, maka mulakan perlahan-lahan dengan niat dan keazaman. Allah pasti akan mempermudahkan jalan untuk melakukannya kerana kita mahu melakukannya.

