Hukum

Status Hadis – Doa Nabi Memohon Keluasan Rumah

Oleh Natirah Azira  •  26 Oct 2022  •  2 min baca

Rumah yang besar, di dalam rumah ada ruang tamu yang luas, ruang dapur pula siap dengan kabinet, lengkap dengan ‘kitchen island’ di tengah-tengah. Kawasan luar rumah pula ada taman mini, kolam ikan dengan meja minum petang dan kerusi gantung. Wah, jauh angannya bukan?

Sebahagian daripada anda yang membaca mungkin sudah mencapai rumah idaman seperti yang dibayangkan tadi. Sebahagian daripada kita mungkin masih menatal skrin telefon melihat dekorasi rumah yang sering lalu di media sosial.

Siapa yang tidak mahu rumah yang selesa, bersih dan mempunyai ruang yang luas bukan? Tidak dinafikan, rumah yang luas dengan dekorasi yang sesuai dapat menjemput ketenangan buat penghuni yang berada di dalamnya.

Rumah yang luas juga pernah disebut dalam satu hadis sebagai salah satu tanda kebahagiaan bagi manusia.

Diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi SAW bersabda :

Maksudnya : “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.” [Riwayat al-Bukhari (457) di dalam al-Adab al-Mufrad]

Dikatakan juga bahawa Nabi SAW pernah berdoa memohon keluasan rumah. Ia diriwayatkan dalam satu hadis yang berbunyi:


اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي، وَوَسِّعِ لي فِي داري، وَبارِكْ لي في رِزْقِي

Maksudnya : ”Ya Allah, ampunkan dosaku, luaskan bagiku rumahku dan berkatilah aku di dalam rezekiku.” [Riwayat al-Tirmizi (3636)]

Walau bagaimanapun, hadis di atas sebenarnya dinilai daif. Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, hadis daif boleh diamalkan dengan beberapa syarat. Antaranya ia tidak boleh dijadikan pegangan untuk hukum, tetapi fadilat amalan sahaja. Ketika beramal dengan hadis daif, seseorang juga tidak boleh beriktikad bahawa Nabi SAW melakukannya.

Maka dalam hal ini, jika ingin berdoa memohon rumah yang besar dan luas, maka tidak boleh disandarkan amalan ini kepada Nabi SAW. Semoga Allah merezekikan kita untuk tinggal di rumah yang menenangkan dan memudahkan kita untuk beramal dan melakukan ibadah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami