Site icon Tazkirah

Erti Hisab Dan 2 Jenis Pembahagiannya

Tidak terbayang bagaimana hari hisab yang akan ditempuh oleh seluruh umat manusia kelak. Semuanya menantikan masa untuk amalan semasa di dunia diperiksa dan dihitung sebelum melayakkan diri untuk masuk ke syurga atau terhumban ke neraka.

Secara umumnya, menurut Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah, hisab dapat difahami sebagai perhitungan antara amal kebajikan dan keburukan.

Rasulullah SAW menyatakan di dalam sabdanya:

مَنْ حُوسِبَ عُذِّبَ قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ أَوَلَيْسَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا قَالَتْ فَقَالَ إِنَّمَا ذَلِكِ الْعَرْضُ وَلَكِنْ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ يَهْلِكْ

“Barangsiapa yang dihisab, maka ia terseksa”. Aisyah bertanya,”Bukankah Allah telah berfirman ‘maka ia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah[10]” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Hal itu adalah al ‘aradh. Namun barangsiapa yang dimunaqasyah hisabnya, maka ia akan binasa” (Muttafaqun ‘alaihi)

Menurut penerangan dalam Kitab Mukhtasar Ma’arij oleh Syeikh Hafiz Al-Hakami (diringkaskan oleh Hisyam Ali ‘Uqdah), hisab boleh difahami dengan dua keadaan:

#1- Al-‘Aradh (Penampakan Dosa & Pengakuan)

– Pengertian umum iaitu seluruh makhluk ditunjukkan di hadapan Allah lembaran catatan amalan mereka. Ia termasuk orang yang dimunaqashah hisabnya atau yang tidak dihisab.

– Pemaparan amalan maksiat kaum Mukminin kepada diri mereka, penetapannya, kerahsiaannya (ia tidak dibuka di hadapan orang lain) dan pengampunan Allah atasnya. Hisab ini dinamakan hisab yang ringan.

#2- Munaqashah (Diperiksa Dengan Sungguh-sungguh)

Hisab jenis inilah yang dikatakan hisab perhitungan antara kebaikan dan keburukan.

Di sini, dapat difahami bahawa ada keadaan tertentu yang memungkinkan untuk proses hisab menjadi mudah atau menjadi payah.

Contohnya dalam satu hadis Saidatina Aisyah R.anha bertanya kepada Nabi SAW apakah yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah, lalu baginda menjawab:

“Dengan melihat kepada kitabnya (kitab catatan amalan) lalu Allah mengampuninya” (Kitab Takhrij Al-Musnad li Syu’aib, 24215)

Dalam hadis ini juga Saidatina Aisyah mengkhabarkan bahawa Nabi SAW sentiasa berdoa di dalam solatnya, memohon agar dihisab dengan hisab yang ringan oleh Allah.

Ibaratnya Allah mengampunkan semua kesalahan yang telah dilakukan yang tercatat dalam kitab tersebut kerana kemurahan dan kasih sayangnya kepada hamba, dan tidak ditanya satu persatu tentang amalan yang sudah dilakukan.

Ada juga hadis lain yang menyebutkan tentang ganjaran bagi melepaskan seseorang dari kesulitan di dunia, maka Allah juga akan melepaskannya dari satu kesulitan di akhirat. Ada pula golongan yang langsung tidak dihisab dek kerana amalan yang dilakukan sewaktu di dunia contohnya kerana tawakkal yang sangat tinggi kepada Allah.

Imam Ibnu Abil Izz ada mengulas bahawa makna hadis yang disebutkan pada permulaan di atas – jika Allah menghitung amal kebajikan dan keburukan dalam hisab hambaNya, tentulah Allah mengazab mereka dalam keadaan tidak menzalimi mereka sedikitpun, namun Allah memaafkan dan mengampuninya.

Hisab adalah suatu yang pasti dan setiap yang bergelar makhluk pasti akan menghadapinya. Hisab juga ialah suatu yang berat. Setiap amalan tidak terlepas daripada dicatat ke dalam lembaran amalan yang ditunjukkan kembali kepada kita di hadapan Allah kelak.

Saat itu, tidak ada yang kita mahukan melainkan belas kasihan dan pengampunan daripada Allah.

Sumber:

Ustaz Kholid Syamhudi. Hisab Pada Hari Pembalasan. Al-manhaj.or.id

Exit mobile version