Oleh Faseha Suhaimi • 21 Oct 2022 • 3 min baca
Komunikasi merupakan suatu proses pemahaman dan perkongsian kehendak oleh dua individu atau lebih. Ia boleh disampaikan sama ada melalui percakapan, penulisan ataupun bahasa isyarat.
Menjurus kepada konteks komunikasi bersama keluarga, ramai yang beranggapan ia hanyalah rutin perbualan biasa. Ada setengahnya diibaratkan seperti anjing dan kucing kerana kerap kali berbalah semasa berkomunikasi.
Adakah gambaran komunikasi sebegini baik bagi pandangan anda?
Skil komunikasi ini perlu dilatih dan sentiasa diperbaiki mengikut kepada tahap pemahaman individu dan kepelbagaian situasi. Jangan jadi seperti ayam dan itik, yang akhirnya tidak mencapai maksud dan kehendak dalam berkomunikasi.
Cara bercakap seorang ayah kepada anak lelaki berbeza dengan anak perempuannya.
Cara bercakap seorang isteri kepada si suami berbeza dengan anak-anaknya.
Biasakan memilih perkataan yang baik dan membina. Di samping itu, emosi juga perlu dikawal sekiranya berlaku perbalahan. Jika perlukan masa untuk berdiam, sebaiknya memilih diam dahulu dari berkata-kata.
Hamburan kata-kata kesat akan memberi impak negatif kepada individu seperti berasa kurang yakin diri dan keresahan. Bak kata pepatah Arab, lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Adakala kita lupa menjaga hati atau perasaan orang lain kerana terlalu mengikut rentak emosi.
Berapa ramai individu yang menghidap masalah kesihatan mental adalah disebabkan kata-kata cacian dan makian yang mereka terima. Rasa bersalah dan tidak berguna menyelubungi diri akibat dari lemparan kata-kata kesat tersebut.
Biasakan berfikir dahulu sebelum berkata-kata ya.
Kontak mata antara dua individu membantu dalam penyampaian maksud secara lebih efektif. Secara tidak langsung membantu seseorang untuk lebih memahami apa yang hendak diperkatakan.
Kesibukan melayani gadjet pada zaman ini menyebabkan manusia hilang tumpuan semasa berkomunikasi. Ada situasi yang mana tiada kontak mata berlaku, hanya sahut-sahutan suara dalam menyampaikan sesuatu.
Jika berlaku perbincangan atau perbualan sesama keluarga, sebaiknya simpan dahulu gadjet dan hadirkan tumpuan sepenuhnya dalam berkomunikasi.
Apa yang anda rasa sekiranya kata-kata atau pendapat anda didengari?
Mestilah anda akan cukup rasa dihargai.
Komunikasi juga berlaku untuk saling bertukar maklumat. Ramai yang gemar memberi pandangan, namun sedikit sekali yang gemar untuk mendengar. Elemen mendengar ini perlu ada dan ianya membantu dalam kelancaran penyampaian komunikasi.
Jika kita gemar mengambil ringan dengan maksud yang cuba disampaikan oleh seseorang, keraplah nanti berlaku ketidaksefahaman. Dari ketidaksefahaman menimbulkan pula perbalahan. Sedangkan komunikasi ini adalah ruang yang dicipta untuk mencapai titik persefahaman.
Dengar dahulu apa jua penjelasan seseorang samada mereka masih kanak-kanak ataupun golongan tua sebelum membuat apa-apa kesimpulan sendiri.
Menghukum seseorang tanpa mengetahui kebenarannya adalah perkara yang tidak baik di sisi Islam.
Kesimpulan,
Kita sentiasa ingin menjadi tauladan yang baik kepada masyakarat di luar. Bertutur penuh santun, berperilaku penuh etika, bermesra penuh hemah. Adakala jauh beza adab dan perilaku kita jika dibandingkan dengan ahli keluarga sendiri.
Sedangkan Rasulullah SAW menerapkan bahawa sebaik-baik individu itu adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya). [(Riwayat al-Tirmidhi (3895)]
Walaupun keluarga itu adalah individu-individu yang sudah terbiasa dengan compang-camping sikap kita, jangan sesekali mempersendakan kata-kata mereka. Biarlah yang tua itu dihormati, yang muda itu disantuni. Dahulukan adab dalam apa jua tindakan mahupun percakapan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.