Site icon Tazkirah

Hukum Sebutan Amin Selepas Imam Selesai Membaca Al-Fatihah

Solat berjemaah mempunyai tata tertibnya yang tersendiri berbeza dengan solat secara bersendirian.

Salah satu syarat sah solat berjemaah ialah mengikut perbuatan imam. Namun bagaimana pula ketika imam selesai membaca Al-Fatihah, adakah makmum wajib menyebut juga ‘Amin’.

Bagaimana pula jika ketika itu makmum juga sedang membaca Al-Fatihah? Adakah boleh dihentikan sebentar bacaan Al-Fatihah dan menyebut ‘Amin’.

Apakah hukum yang sebenarnya?

Hukum bacaan amin setelah imam selesai membaca Al-Fatihah ialah sunat sahaja. Jadi jangan bimbang, jika anda sebagai makmum tidak sempat menyebut amin, maka tidak mengapa.

Menurut Ustaz Azhar Idrus pula jika makmum menghentikan seketika bacaan Al-Fatihahnya untuk menyebut amin bersama imam, ia turut dibolehkan. Makmum tidak perlu mula dari awal semula membaca Al-Fatihah.

Ia berdasarkan kenyataan Imam Nawawi yang menyebut bahawa:

Maksud: Disunatkan bagi setiap orang yang membaca surah al-Fatihah sama ada dalam ataupun luar solat untuk mengucapkan aamin setelah selesai membacanya. (Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/247)

Sekalipun ia hanya sunat, namun ada kelebihan bagi makmum yang melafazkan amin bersama-sama imam, iaitu jika ucapan itu selari dengan ucapan amin para malaikat, maka dosa-dosa yang telah lalu akan terhapus.

Sebuah hadis Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA:

Maksud: Sekiranya imam mengucapkan amin maka ucapkanlah amin, maka sesungguhnya ucapan amin sesiapa bersamaan dengan ucapan amin para malaikat maka diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu. [Riwayat al-Bukhari (780)]

Amalan menyebut Amin bersama imam adalah amalan yang mudah dan ringkas. Ambillah peluang mengucapkan amin, moga-moga ia membawa fadilat kelebihan kepada kita.

Exit mobile version