Inspirasi

Carilah Kekuatan Disebalik Nama-Nama Allah Yang Agung Ini

Oleh Natirah Azira  •  14 Oct 2022  •  3 min baca

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Jumu’ah 62:1)

Imam Fakhruddin al-Razi menyebutkan bahawa nama-nama ini istimewa kerana ia mengundang kita untuk dekat dengan Allah jika kita benar-benar memahaminya. Dalam ayat di atas ada empat nama Allah yang disebut.

#1 – Al-Malik (Raja Yang Maha Menguasai)

Bayangkan jika kita bertemu sultan atau raja, apakah yang kita rasa? Paling tidak, pasti rasa kagum timbul kerana kita berada dekat dengan orang yang tarafnya tinggi. Apabila dijemput hadir ke majlis yang ada sultan atau raja, pasti kita rasa berbesar hati.

Allah sebagai Al-Malik, Raja Yang Maha Menguasai pasti lebih lagi. Apabila kita sedar bahawa Allah adalah Raja Yang Maha Menguasai sekalian alam, pasti terbit rasa kagum dan takjub atas setiap perkara yang diciptakan dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara.

Nama Allah sahaja jika diselami sudah mengundang kita untuk lebih mengetahui dan mendekati perkara-perkara yang Allah ciptakan.

#2- Al-Quddus (Yang Maha Suci)

Allah Yang Maha Suci bermaksud Allah ialah Tuhan yang jauh dari cacat cela, jauh dari segala ketidaksempurnaan.

Manusia secara logiknya tidak sukakan perkara yang kotor atau berbau. Kita sukakan sesuatu yang cantik, berseri dan bersih.

Justeru, apabila kita dekat dengan Allah, dan berdamping dengan Allah, maka secara tidak langsung, diri kita sendiri disucikan daripada kekotoran zahir mahupun batin. Tindakan dan pemikiran kita menjadi lapang, tenang, dan ingin menjauhi sebarang ‘kekotoran’.

#3- Al-‘Aziz (Yang Maha Kuasa)

Kata Imam Fakhruddin lagi, dalam nama Al-‘Aziz ini terdapat dua elemen iaitu autoriti (berkuasa) dan juga dihormati.

Jika kita lihat secara umum, tidak semua orang yang mempunyai autoriti akan dihormati. Dan ada juga orang yang dihormati tetapi tidak mempunyai autoriti yang besar.

Justeru Allah adalah Tuhan yang mempunyai kuasa serta penghormatan oleh seluruh makhluknya. Berdamping dengan Allah juga akan membuat kita mendapat penghormatan oleh para malaikat malah sesiapa sahaja yang Allah inginkan.

#4- Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana)

Setiap saat seseorang jauh dari Tuhan Yang Maha Bijaksana adalah satu kerugian. Mengapa? Kerana Allahlah sumber segala kebijaksanaan.

Bayangkan jika anda berpeluang menemui ilmuwan atau tokoh yang dikagumi, pasti anda mahu bukan? Berada bersama mereka dan mendengar bicara mereka 20 minit sudah pasti lebih berharga daripada belajar 2 jam sendiri.

Justeru, berdamping dan dekat dengan Allah Yang Maha Bijaksana turut membuatkan kita menjadi hamba yang lebih celik akal dan hati.

Begitulah empat nama Allah yang benar-benar mempunyai keistimewaan jika kita fahaminya dengan mendalam. Kesannya kepada orang yang benar-benar beriman, ia membuatkan kita benar-benar rendah diri, rasa lebih kuat dan lebih kenal dengan Allah Tuhan Sekalian Alam melalui nama-namanya yang istimewa.

Rujukan:

Perkongsian video yang disampaikan oleh Ustaz Nouman Ali Khan oleh Bayyinah Institute


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami