Hukum

Hukum Makan Daging Yang Ada Kesan Darah Walau Sudah Dimasak

Oleh Natirah Azira  •  5 Oct 2022  •  2 min baca

“Steak”

“Lamb chop”

“Chicken grill”

Sebut sahaja hidangan di atas, mungkin ada yang sudah kecur mulut. Buat lapar betul!

Tapi yang nak kita bincangkan bukan tentang menu apa yang hendak dimakan nanti, atau restoran mana yang nak dituju, tetapi hukum yang berkait dengan cara hidangan daging.

Jika anda peminat hidangan-hidangan di atas, pasti sudah biasa dengan aneka jenis cara hidangannya. Kalau stik, ada yang ‘rare’ lah, ‘medium rare’, ‘medium well’ dan beberapa jenis lagi yang dikelaskan mengikut tahap masak daging tersebut.

Kadang-kala, kesan darah dan bahagian merah jelas dilihat pada daging yang dimasak. Soalnya, adakah boleh makan daging sebegini?

Dalam Surah Al-An’am ayat 145, Allah menyebut bahawa perkara yang diharamkan ialah darah yang mengalir. Menurut penerangan Ibnu Jarir al-Tabari dalam tafsirnya;

“Allah yang Maha Terpuji memberitahu syarat darah yang diharamkan itu adalah darah yang mengalir dan bukan darah yang lain daripada itu. Ini adalah dalil yang jelas bahawa darah yang tidak mengalir adalah halal dan bukan najis.”

Dalam Tafsir Ma’alim al-Tanzil oleh Imam Al-Baghawi pula diterangkan lagi bahawa daging yang bercampur dengan darah tetapi bukan darah yang keluar daripada urat semasa penyembelihan, maka daging itu tidak haram.

Secara umumnya, darah yang berada pada urat, otak, tulang atau daging yang telah dimasak tetapi masih ada kesan merah darah, halal untuk makan.

Kesimpulannya, pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga cenderung berpendapat bahawa darah yang diharamkan hanya darah yang mengalir ketika hidup atau ketika disembelih sahaja. Selepas mati, darah pada daging tidak lagi mengalir seperti ketika hidup, jadi hukumnya halal.

Walau bagaimanapun, daripada aspek kesihatan, keutamaan masih perlu diutamakan. Jika doktor atau pakar pemakanan melarangnya kerana mudarat penyakit, maka haram dan makruh untuk makan daging tersebut mengikut kadar darurat.

Sumber:

Umar Mukhtar Mohd Noor. (2017). Al-Kafi #654 : Hukum Darah Pada Daging, Urat Dan Tulang Haiwan Sembelihan. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami