Sakit hati tak jika ada orang yang kerap menggunakan ayat-ayat Al-Quran atau hadis untuk menutup kesalahan yang dilakukan? Kata orang sekarang, mereka seperti ‘penunggang agama’ iaitu menggunakan agama untuk mempertahankan diri dan tidak mahu mengaku salah.
Contohnya memukul dan mendera anak yatim atas alasan ‘mendidik’ sedangkan Rasulullah SAW telah memberi contoh dan pedoman bagaimana mendidik kanak-kanak. Ada pula pengurus tahfiz yang menggunakan duit sumbangan khusus yang diberikan kepada pelajar untuk membuat jamuan guru-guru dan banyak lagi.
Lalu sebagai orang yang mungkin berhadapan dengan situasi ini, atau menjadi penonton atau saksi, kita berasa pelik, bagaimana orang yang mempunyai ilmu agama, yang tahu hadis, yang menghafal Al-Quran tetapi bertindak sewenang-wenangnya.
Ilmu Semakin Bertambah, Hidayah Boleh Naik Dan Turun
Hal inilah yang dipesan oleh Ustaz Nouman Ali Khan supaya kita membezakan orang yang mempunyai pengetahuan dengan orang yang mendapat hidayah. Orang yang mempunyai pengatahuan tidak sama dengan orang yang mendapat hidayah.
Ilmu pengetahuan boleh bertambah setiap masa, dari hari ke hari. Jika kita rajin mencari ilmu, belajar dan membaca, maka ilmu akan bertambah. Seseorang boleh menambah pengetahuannya tentang hadis, tentang Al-Quran tetapi pengetahuan tidak semestinya menambahkan hidayah dalam hati.
Hidayah bersifat naik dan turun. Ada hari kita rasakan mendapat pedoman dan petunjuk kebaikan daripada Allah, ada hari pula kita tidak mendapatnya.
Hidayah Perlu Dipohon Setiap Masa
Perhatikan peringatan Allah kepada RasulNya bahawa baginda tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang disayangi tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada hamba yang dikehendaki.
“…Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)” (Surah Al-Qasas, 28:56)
Justeru, hidayah perlu dipohon kepada Allah. Ia tidak datang begitu sahaja. Rasulullah SAW , orang yang mendapat hidayah daripada Allah, yang membimbing umat manusia juga meminta kepada Allah setiap hari agar diberikan hidayah.
“Tunjukilah kami jalan yang lurus” (Surah Al-Fatihah, 2:6)
Maka, memohon hidayah daripada Allah bukan perkara yang enteng. Tanpa hidayah, umat Islam akan lari dari jalan kebenaran. Tanpa hidayah, kita boleh silap mentafsirkan maklumat yang dijumpai. Ilmu dan hidayah perlu selari agar kita sendiri tidak menjadi fitnah kepada agama.
Matlamat seseorang mempelajari agama bukan untuk ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi matlamat di penghujungnya ialah hidayah dan petunjuk daripada Allah. Ilmu pengatahuan hanya alat untuk sampai kepadaNya.
Orang yang mendapat hidayah daripada Allah sudah pasti tidak akan berbuat sewenang-wenangnya, tidak bermudah-mudah menggunakan Al-Quran dan hadis sebagai alasan atas sikap dan perlakuan tetapi lebih dahulu menghisab diri dan kesalahan yang perlu diperbetulkan.

