Dunia dikejutkan dengan pengkhabaran bahawa ulama tersohor dunia, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah meninggal dunia pada petang tadi (26 September 2022) pada usia 96 tahun.
Berita ini telah dimuat naik dalam akaun media sosial rasminya. Tarikh dan tempat pengebumian akan dimaklumkan kemudian dalam masa terdekat.
Untuk makluman, beliau terkenal sebagai tokoh gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir , malah pernah dipenjarakan beberapa kali sepanjang penglibatannya dakwahnya.
Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan besar semasa hayatnya seperti Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis dan juga Pengarah Pusat Pengkajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar.
Selain itu, beliau juga digelar tokoh pembaharuan dunia Islam atau mujaddid kontemporari kerana pemikirannya yang mampu mengemukakan penyelesaian yang jitu kepada permasalahan ummah.
Antara idea yang pernah diangkat oleh beliau ialah konsep wasatiyyah, maqasid al-syariah dan fiqh al-awlawiyyat malah beliau pernah menghasilkan lebih 120 buah buku dalam pelbagai bidang seperti akidah, usul fiqh, ibadah, kewangan, dan kemasyarakatan.

