Inspirasi

Rahsia Orang Yang Mudah Memaafkan

Oleh Natirah Azira  •  26 Sep 2022  •  2 min baca

Pernah tak anda jumpa orang yang mudah memaafkan orang? Yang tidak berdendam, yang cepat melupakan. Saya pernah jumpa orang sebegitu. Seolah-olah mereka tidak terkesan dengan perlakuan orang kepadanya.

Dan orang-orang begini membuatkan saya bingung – apa yang mereka fikirkan sebenarnya.

Adakah mereka tidak terluka? Adakah mereka tidak terkesan dengan apa yang berlaku? Sejenis hati apa yang mereka ada?

Saya cuba buat empat kesimpulan.

Pertama, apa yang mereka hadapi tidak terlalu besar dan tidak merugikan diri sendiri. Jadi, mereka mudah sahaja memaafkan dan melupakan.

Kedua, mereka mendapat didikan sejak awal tentang nilai kemaafan, baik daripada ibu bapa atau rakan-rakan. Akhirnya terbentuk peribadi yang lembut, yang menjadikan mereka mudah memaafkan.

Ketiga, mereka memang dilahirkan berhati mulia. Tapi, semua orang lahir sama, seperti kain putih, bukan?

Keempat, mereka mungkin tidak ada perasaan. Tetapi mustahil seorang manusia tidak ada perasaan.

Sebab yang ketiga dan keempat di atas mungkin susah diterima dek akal dan boleh diabaikan. Tapi ada dua tambahan sebab yang lain yang boleh saya fikirkan.

Pertama, mereka orang yang optimis, yang sentiasa bersangka baik, yang tidak hanya melihat dunia ini dua warna sahaja – hitam dan putih. Mereka yakin bahawa di sebalik keburukan yang berlaku, pasti terselit kebaikan.

Mereka tahu bahawa di sebalik kesusahan yang menimpa, ada ganti yang lebih baik daripada Allah SWT. Tidak ada yang tersia daripada setiap kebaikan yang dilakukan.

Mereka tahu dan faham tentang janji Allah SWT bahawa orang yang mudah memaafkan orang, Allah juga akan memaafkan dirinya.

“…dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An-Nur 24:22)

Allah juga akan memuliakan dan meninggikan kehidupannya kerana rasa rendah hati yang menjadi ‘pakaian’ dirinya.

Dari Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasul SAW bersabda,

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلاَّ عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ

Sedekah tidaklah mengurangi harta. Tidaklah Allah menambahkan kepada seorang hamba sifat pemaaf melainkan akan semakin membuatnya mulia. Dan juga tidaklah seseorang memiliki sifat tawadhu’ (rendah hati) kerana Allah melainkan Allah akan meninggikannya.(HR. Muslim, no. 2588)

Akhir sekali, orang yang optimis dan mudah memaafkan barangkali faham bahawa membenci dan berdendam menghabiskan masa dan tenaga yang patut digunakan untuk mencari bahagia.

Berdendam membuatkan fikiran kacau dan hati tidak tenteram. Mereka ingin tidur lena pada waktu malam, tanpa rasa tidak puas hati atau ‘overthinking‘.

Hidup terlalu singkat untuk membenci. Maafkanlah orang yang pernah melakukan kesalahan kepada kita, kerana kita juga ingin Allah memaafkan kesalahan-kesalahan diri yang ada.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami