Al-Wali daripada sudut bahawa bermaksud “dekat atau hampir”. Dari sudut istilah ia dimaksudkan dengan golongan yang beriman. Mereka menerima perintah Allah SWT dan taat sepenuhnya serta menjauhi hal-hal kemaksiatan.
Antara maksud wali Allah menurut keterangan para ulama:
1. Mereka orang yang dikira dekat dan hampir kepada Allah SWT dengan penuh rasa kasih sayang, hidayah dan petunjuk (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45?135-137).
2. Golongan yang dekat dengan Allah SWT dan dipermudahkan uusannya dan diberikan rasa kasih sayang ke atasnya. Mereka hampir dengan keredaanNya (Lihat Syarah al-Tahawiyyah, 2/509)
3. Dr Wahbah Zuhaili berpendapat bahawa golongan yang disebut wali ini mendapat berita gembira dalam kehidupan di dunia dengan cara mendapat pertolongan dan memperolehi petunjuk yang benar di dunia selagi mana mentaati segala perintah Allah.
4. Imam Al-Syaukani menyatakan mereka mestilah beriman kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitab yang diturunkan, para rasul serta qada’ dan qadar. Orang yang bersikap sebaliknya tidak dikira wali Allah.
5. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah pula menyebutkan bahawa wali Allah ialah orang yang mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW (wali al-Rahman). Sesiapa yang beriman dengan selain daripada Allah, maka dia dari golongan wali syaitan.
6. Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut bahawa wali Allah ialah orang yang mengenali Allah dan melakukan ketaatan bersungguh-sungguh, serta ikhlas dalam melakukan ibadah.
7. Syeikh Al-Maraghi menyebut wali Allah ialah orang yang melakukan ibadah dengan segenap keikhlasan dan hanya bertawakkal kepada Allah. Mereka tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah dan tidak juga mengharapkan pertolongan selain daripada pertolongan Allah SWT.
Sungguhpun perkataan wali ini biasa digunakan bagi merujuk kepada wali Allah, namun ia juga ada digunakan bagi merujuk kepada wali syaitan atau orang yang menjadi penolong kepada kemungkaran.
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah 2:257)
Golongan yang digelar wali syaitan ini juga ialah golongan yang menjadikan syaitan sebagai pemimpin. Dalam ayat lebih mudah, kehidupan mereka berpandukan kepada kekufuran dan kemungkaran dan bukan ajaran yang benar dari Allah SWT dan rasul-rasulNya.
“… kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.” (Surah Al-A’raf, 7:30)
Syeikh Al-Maraghi mengatakan golongan yang menjadi pengikut syaitan atau wali syaitan, mereka ditipu oleh pandangan mereka sendiri. Mereka melihat perkara yang mungkar dan keji seakan perkara kebaikan. Mereka juga menyangka telah diberikan petunjuk dan hidayah untuk melakukan perkara yang salah.
Setelah difahami penerangan tentang maksud wali dan pembahagiannya diatas, dapat disimpulkan bahawa para wali Allah boleh dikenali dengan sifat keimanan dan ketakwaan mereka terhadap Allah SWT. Mereka tidak mencari kemasyhuran daripada dunia mahupun makhlukNya melainkan keredaan Allah sahaja.
Hakikatnya, tidak ada orang yang boleh menentukan secara pasti dan muktamad bahawa seseorang itu ialah wali Allah kecuali Allah SWT sahaja. Yang dapat kita lihat hanya zahir amalan dan perwatakan yang ditunjukkan.
Jika ada yang dilihat menepati apa yang telah diterangkan sebagai maksud wali Allah, maka bolehlah kita mengikut jua jejak langkahnya dalam beriman dan beramal kepada Allah, tetapi bukan sehingga taksub sampai terlupa tujuan sebenar iaitu keredaan Allah semata-mata.
Sumber:
Muhammad Fathi Noordin. (2020). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-393: Siapakah Wali Allah?. Mufti Wilayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.