Site icon Tazkirah

Kelebihan Berzikir Laailaahaillallah 100 Kali – Umpama Merdekakan 10 Hamba, Dicatat 100 Kebaikan, Dihapus 100 Keburukan

Amalan zikir ialah penghias kepada ibadah wajib. Banyaknya jenis-jenis zikir yang boleh diucapkan memberi mesej penting bahawa mengingati Allah SWT bukan hal sampingan dalam kehidupan seorang Muslim, tetapi hal utama.

Dalam banyak-banyak zikir yang ada, salah satu yang istimewa ialah zikir ketauhidan yang berisi pengakuan dan pujian bahawa Allah SWT sebagai pemilik dan penguasa seluruh makhluk dan alam yang wujud.

Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa orang yang mengucapkan zikir ini sebanyak 100 kali setiap hari, nilainya sama seperti memerdekan 10 orang hamba, akan dicatat dengan 100 kebaikan dan dipadam 100 keburukan daripada rekod amalan. Bukan itu sahaja, Allah juga akan memberikan perlindungan daripada gangguan syaitan kepada orang yang mengucap zikir ini.

Apakah zikir tersebut?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ وَكُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنَ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلاَّ أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ ‏”‏ ‏.‏

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mengucapkan ’Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarika lah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ’ala kulli syay-in qodiir’ (tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya kerajaan dan segala pujian. Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu) dalam sehari sebanyak 100 kali, maka baginya sama dengan memerdekakan sepuluh hamba, dicatat baginya 100 kebaikan, dihapus darinya 100 keburukan, dan dia akan terlindung dari syaitan pada siang hingga malam, serta tidak ada yang lebih utama darinya kecuali orang yang membacanya lebih banyak dari itu.” (HR. Bukhari, no. 6403)

Hanya dengan mengucapkan zikir ini, Allah SWT akan memberikan begitu banyak ganjaran. Bilangan 100 mungkin terasa banyak bagi kita yang baru ingin memulakan, tetapi kita boleh membahagi-bahagikannya.

Kita boleh membacanya setiap kali selepas solat lima waktu. Jika dibaca 20 kali bagi setiap waktu, maka kita sudah melengkapkan 100 kali bacaan zikir ini. Mudah kan?

Marilah kita mula beristiqamah dengan sekurang-kurangnya satu ibadah yang sahih yang kita ketahui. Yang penting bukan pada pelbagai jenis ibadah tambahan yang dilakukan, tetapi pada istiqamah dan keyakinan pada janji yang telah Allah khabarkan.

Exit mobile version