Kefakiran dan kemiskinan ialah keadaan hidup yang ingin dielakkan oleh semua orang. Bahkan jika duit mula menyurut dalam akaun bank pun sudah rasa resah apatah lagi jika tidak cukup makan sehari-hari, tidak dapat berbelanja dengan senang, tidak dapat memberi wang kepada anak isteri, tidak dapat bercuti ke mana-mana.
Pendek kata, kemampuan berbelanja serta melakukan banyak perkara jadi terhad. Orang yang pernah melalui keadaan yang cukup sempit dan menekan sahaja yang tahu bagaimana keadaannya dalam situasi tersebut.
Maka, mulalah kita mengamalkan pelbagai doa dan amalan di samping usaha untuk terus memperbaiki taraf hidup. Antara amalan yang masyhur disebar luaskan yang dikatakan mampu menjauhkan kemiskinan dan menjemput kekayaan ialah amalan zikir ‘LailahaillaAllah’ sebanyak 100 kali.
Ia dikatakan bersumber daripada riwayat ini:
من قالَ في يومٍ مئةَ مرَّةٍ : لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ الحقُّ المبينُ كانَ لهُ أمانًا منَ الفقرِ ، واستجلَبَ بهِ الغنى ، وأمنَ من وحشةِ القبرِ ، واستقرعَ بابَ الجنَّةِ
Maksud: “Barang siapa berkata pada satu hari seratus kali: ‘La ilaha illa Allah al-Haq al-Mubin’
Maka ia keamanan buatnya daripada kefakiran, dia meraih dengannya kekayaan, selamat daripada keperitan kubur dan dengannya dia akan dapat mengetuk pintu syurga.”
Walau bagaimanapun status hadis ini sebenarnya munkar, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lemah, kurang tahap kepercayaannya dan tidak diterima jika dia bersendirian meriwayatnya.
Terdapat amalan lain yang mempunyai tujuan sama yang boleh diamalkan iaitu memohon ampun kepada Allah. Ia dinyatakan secara jelas dalam Al-Quran, Surah Nuh, ayat yang ke 12.
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, 71:10-12)
Semoga usaha kita untuk mengelak kesusahan dan kemiskinan bukan hanya semata-mata kerana kesenangan dunia tetapi untuk tujuan yang lebih tinggi – kita bimbang apabila miskin kita sukar bersedekah, kita jadi tidak reda, kita jadi sempit masa untuk beribadah kerana asyik mencari wang dan sebab-sebab lain yang boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT.

