Apa yang anda beli hari ini? Dah ada barang yang sudah di ‘check out’ dari troli maya anda?
Dari semasa ke semasa, sudah tentu ada barang yang dibeli sampai di hadapan pintu rumah atau yang diangkut ke dalam bonet kereta jika anda membeli secara fizikal. Rasa seronok saat ‘unboxing‘ bukan? Lebih-lebih lagi jika benda itu sudah diidam lama. Rasa tak sabar nak pasang dan cuba.
Kita ‘pause’ dahulu sekejap. Ada doa yang boleh kita baca sebenarnya selepas kita beli barang. Kadang-kadang, kita tidak tahu apakah kebaikan barang tersebut pada kita. Adakah ia boleh mendatangkan mudarat pada masa akan datang atau mendatangkan kebaikan.
Justeru, ada doa yang dianjurkan dibaca setiap kali kita membeli barang baru. Dari Abdullah bin Amr, Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَفَادَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً أَوْ خَادِمًا أَوْ دَابَّةً فَلْيَأْخُذْ بِنَاصِيَتِهَا وَلْيَقُلِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ
“Jika kalian mendapatkan isteri, atau hamba atau haiwan tunggangan, maka pegang ubun-ubun kemudian bacalah, ‘Allahumma inni as-aluka khoiriha wa khoirima jubilat ‘alaihi wa a’udzubika min syarriha wa syarrima jubilat ‘alaihi.’”
Sekalipun doa yang diajarkan di atas disebutkan apabila situasi mendapat isteri, atau harta berupa haiwan tunggangan, ia juga boleh dibaca apabila kita mendapat suatu barangan baru, kerana setiap suatu benda di atas muka bumi ini adalah makhluk Allah jua – padanya ada keburukan dan juga kebaikan.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ
(Allahumma inni as-aluka khoiriha wa khoirima jubilat ‘alaihi wa a’udzubika min syarriha wa syarrima jubilat ‘alaihi)
Maksud: “Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan sifat yang ada di dalamnya. Dan aku berlindung kepadaMu dari keburukannya dan keburukan sifat yang ada di dalamnya.”
Semoga Allah menjadikan setiap perkara yang datang ke dalam kehidupan kita ialah kebaikan, dan untuk kebaikan juga kita menggunakannya.

