Tempat yang paling dicintai Allah SWT di muka bumi ialah masjid. Ia adalah tempat terzahir kesatuan ibadah Muslim. Disebutkan dalam satu hadis tentang tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat dan salah satunya ialah orang yang hatinya dekat dengan masjid.
Umum mengetahui terdapat banyak adab ketika menziarahi masjid, antaranya masuk ke masjid dengan langkah kaki kanan, solat sunat tahiyyatul masjid sebelum duduk serta mengimarahkan masjid dengan amal ibadah.
Ada juga doa yang Nabi SAW ajarkan yang boleh dibaca sewaktu ke masjid iaitu doa ketika masuk dan keluar daripada masjid.
عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ وَإِذَا خَرَجَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ
Dari Abu Usaid katanya; Rasulullah SAW bersabda:
“Jika salah seorang diantara kalian memasuki masjid, bacalah doa (Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu).” Dan apabila keluar, hendaknya ia membaca doa (Ya Allah, aku meminta kurnia-Mu).” [(HR Muslim No: 1165) – Status Hadis Sahih]
Doa Ketika Masuk
اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
“Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmatMu”
Doa Ketika Keluar
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ
“Ya Allah, aku meminta kurniaMu”
Doa yang dibaca ketika masuk ke masjid dapat membantu kita untuk lebih sedar dan fokus dengan apa yang dilakukan ketika datang ke masjid. Kita tidak mahu hadir ke masjid secara zahir sahaja, tetapi hati masih disibukkan dengan hal-hal keduniaan yang lain.
Justeru dengan membaca doa ini, ia dapat menghadirkan hati serta memohon agar rahmat Allah dilimpahkan kepada diri selama berada di dalam masjid.
Doa keluar masjid pula mengingatkan kita saat kaki melangkah keluar daripada masjid pun kita masih mahukan kebaikan oleh Allah SWT. Semoga doa yang pendek ini mampu dihafal dan diamalkan.
Kehidupan umat Islam penuh dengan adab dan amalan sunnah. Jika diamalkan setiap doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, kehidupan ini tidak akan kosong bahkan tidak terpisah daripada ibadah.

