Jika dilihat di media sosial dan hiburan seperti Twitter dan Tiktok, ramai yang semakin pandai menggunakan bakat dan kelebihan diri sendiri untuk mendatangkan hasil pendapatan. Ada yang memasak, menjahit, melukis dan menghasilkan barangan kraf, malah barang yang dihasilkan sehingga ditempah pelanggan daripada luar negara.
Bermakna, masyarakat kita juga semakin kreatif dalam mengetengahkan bakat dan kelebihan masing-masing.
Namun, tidak dinafikan mungkin ada yang masih keliru dalam mencari rentak dan ruang untuk mencuba. Ada yang rasa tidak yakin dan takut untuk melangkah mungkin kerana kurang sokongan dan juga kurang percaya kepada diri sendiri.
Kepercayaan kepada diri sendiri juga biasa kita sebut sebagai ‘rasa yakin’ kepada diri sendiri.
Apabila dilihat kepada orang yang nampak yakin, ia nampak mudah sahaja bukan? Seolah-olah keyakinan ada sejak mereka lahir, tetapi hakikatnya keyakinan juga dibentuk oleh pengalaman dan juga latihan.
Sebelum seseorang menjadi yakin, mereka mungkin sudah melalui pengalaman jatuh bangun dalam kehidupan.
Mungkin ada satu perkara lagi yang kita terlepas pandang, iaitu keyakinan bukan bersifat menyeluruh. Orang yang yakin dalam satu perkara tidak semestinya yakin dalam perkara lain. Orang yang terlihat yakin juga bukan orang yang sempurna!
Dengan memahami hakikat ini, kita akan memahami bahawa keyakinan berkait dengan kemahiran yang sebenarnya boleh diusahakan. Semakin banyak pengalaman dan latihan kita dalam satu-satu perkara, maka kita akan rasa semakin yakin untuk melakukan sesuatu.
Ada satu lagi kunci kepada keyakinan iaitu rasa harga diri. Harga diri atau self-esteem sedikit berbeza dengan keyakinan (confidence). Harga diri lebih bersifat dalaman.
Menurut Rosenberg, ia didefinisikan sebagai persepsi yang seseorang ada terhadap diri mereka sendiri, sejauh mana seseorang menilai dirinya berharga.
Orang yang mempunyai harga diri yang rendah akan rasa dirinya tidak berharga dan tidak berguna kepada orang lain, meskipun dia sebenarnya mempunyai bakat dan kemahiran. Dia tidak dapat melihat nilai diri yang sebenar kerana ‘perasaan-perasaan’ yang salah tentang diri sendiri.
Bagaimana jika pandangan terhadap diri sendiri betul?
Bagaimana pula jika pandangan terhadap diri sendiri betul? Contohnya diri sememangnya tidak pandai melakukan sesuatu seperti memasak, mencipta kraftangan atau berniaga.
Mari lihat bagaimana kisah Nabi Musa AS yang juga mempunyai kekurangan dalam percakapannya menyelesaikan dilema diri, sedangkan baginda perlu menyampaikan dakwah kepada Firaun.
Adakah Nabi Musa berkata kepada Allah bahawa dia tidak layak kerana tidak pandai bercakap? Adakah Nabi Musa berputus asa dan rasa dirinya tidak berharga? Tidak, bahkan Nabi Musa AS berkata:
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;
“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,
“Supaya mereka faham perkataanku; (Surah Thaha, 20:25-28)
Nabi Musa AS mengakui bahawa dirinya memang mempunyai kekurangan dalam percakapan. Disebabkan itu, baginda meminta Allah meleraikan ‘simpulan’ dari lidahnya.
Untuk meningkatkan lagi rasa yakinnya, Nabi Musa memohon kepada Allah supaya didatangkan penyokong iaitu abangnya Nabi Harun untuk berhadapan dengan Firaun.
Lihat bagaimana baginda mengajarkan kepada kita bahawa jika kita sedar dan mengakui kelemahan, kita juga perlu cari sokongan, tidak kira daripada keluarga, rakan terdekat atau sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang kita tidak ada.
Dan akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa kita ialah makhluk mulia yang diciptakan oleh Allah SWT, yang dilengkapkan dengan pelbagai kelebihan masing-masing untuk saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain.
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah At-Tiin, 95:5)
Jadi, jangan kita merendah-rendahkan diri sendiri setelah dimuliakan oleh Allah SWT. Jika tidak tahu, maka cari tahu. Jika tidak pandai, maka pandaikanlah diri. Jika betul niat dan keinginan kita untuk berjaya, kita perlu berusaha sebaik-baiknya.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.