Inspirasi

Tak Perlu Terlalu Beriya Dengan Kerja, Nanti Posisi Itu Tetap Akan Diganti?

Oleh Natirah Azira  •  1 Sep 2022  •  3 min baca

Gaya hidup seimbang antara kerja dan rehat atau ‘work-life balance’ selalu menjadi sebutan dan tak dinafikan menjadi matlamat anak muda masa kini. Lagi pula, siapa yang tidak mahu kehidupan yang seimbang bukan?

Ada yang mendifinisikan keseimbangan kerja-kehidupan ini seperti balik tepat waktu, tidak perlu buat kerja lebih masa (overtime), tidak diganggu di luar waktu kerja dan boleh meluangkan waktu yang berkualiti dengan keluarga.

Ramai juga yang memberi pesan bahawa tidak perlu terlalu beriya dalam kerja. Jika kelak berlaku apa-apa kepada diri, syarikat tetap akan menggantikannya dengan orang lain.

Jika dilihat sekali imbas, ada benarnya – syarikat berhak menggantikan pekerja yang tidak mampu lagi memberikan khidmat dan prestasi yang baik, kerana syarikat juga perlu menjalankan operasinya dan bergerak ke hadapan.

Namun, jika ayat ‘tidak perlu terlalu beriya-iya kerana kelak akan diganti’ ini membawa konotasi bahawa ‘tidak perlu bersungguh-sungguh sangat dengan kerja’, maka ia jelas salah dan dikira tidak memegang amanah bekerja dengan sebaiknya.

Ketekunan Diperlukan Dalam Kerja

Bukankah ketika kita diterima bekerja, kita telah menandatangani kontrak penjanjian. Bermakna, amanah itu sudah diakui dan setuju untuk dipegang. Maka, wajib ke atas kita untuk melakukan kerja sebagaimana yang dikehendaki oleh majikan. Allah SWT sangat mencintai orang yang melakukan kerja dengan tekun dan tidak sambil lewa.

Diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

[Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza]

Fahami Polisi Dan Perjanjian Yang Telah Ditandatangani

Seperkara lagi, fahami polisi yang anda tandatangani, adakah ada syarat-syarat tertentu berkaitan kerja yang perlu dilunaskan?

Fahami juga ‘niche’ kerja yang anda lakukan. Jika anda bekerja sebagai wartawan, logiknya sudah pasti masa kerja tidak sama dengan orang yang bekerja dari pukul 8 hingga 5 petang. Pasti ada perkara-perkara yang tidak diduga yang memerlukan anda sentiasa bersedia. Orang yang bekerja sebagai pengawal pula tidak logik untuk bekerja satu ‘shift’ masa sahaja.

Jadi di sini, maksud ‘work-life balance’ itu sudah subjektif dan perlu disesuaikan dengan jenis pekerjaan yang anda ceburi.

Bagaimana pula jika majikan menganiayai? Sukar memberikan cuti, lambat membayar gaji dan lain-lain.

Anda boleh melaporkan kepada pihak berwajib mengikut proses dan prosedur yang betul contohnya memaklumkan kepada bahagian sumber manusia atau Jabatan Tenaga Kerja. Ketahui hak anda yang dilindungi di bawah undang-undang buruh Akta Kerja 1955.

Kesimpulan

Kerja yang kita lakukan setiap hari ialah jalan kita mencari rezeki yang berkat untuk dibawa pulang. Apa pun yang dihadapi di tempat kerja, pastikan penilaian kita tidak dikaburi oleh cakap-cakap orang tetapi penilaian yang matang.

Di sebalik gaya hidup seimbang yang kita inginkan, nilai juga adakah kita telah menyelesaikan amanah kerja dengan sebaiknya, adakah kerja yang dilakukan setimpal dengan gaji yang dibayar setiap bulan?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami