Inspirasi

Doa Mendapat Pahala Dari Ujian Yang Dilalui

Oleh Natirah Azira  •  24 Aug 2022  •  2 min baca

Ujian boleh menimpa manusia dalam keadaan yang disangka atau tanpa disangka-sangka. Tetapi yang lebih memberi impak pastilah suatu yang tidak kita jangka akan terjadi, yang boleh membuatkan seseorang terkaku dan terbungkam – terjatuh tangga, kematian yang tiba-tiba atau hilang duit dari bank tanpa sebarang notis transaksi.

Semakin besar ujian tersebut pada perkiraan kita, semakin besar kesan yang dirasai. Memang kita digesa supaya bersabar dan bersyukur dengan sebanyak-banyaknya, kerana itu adalah jalan keluar magik yang disediakan.

Tetapi, kita semua tahu bahawa proses sabar dan syukur bukan perjalanan yang lurus, bahkan berliku dan bersimpang siur. Ada hari kita rasa hati sudah boleh menerima, namun tidak mustahil ada hari kita sampai ke tahap tidak tahu apa sebenarnya makna syukur dan sabar.

Doa Yang Boleh Dijadikan Penguat

Dalam keadaan kita keliru dan tidak tahu bagaimana lagi untuk bersabar atau bersyukur, bacalah doa yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Ummu Salamah pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِى فِى مُصِيبَتِى وَأَخْلِفْ لِى خَيْرًا مِنْهَا. إِلاَّ أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

“Siapa saja dari hamba yang tertimpa suatu musibah lalu ia mengucapkan;

“Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rooji’un. Allohumma’jurnii fii musibatii wa akhlif Lii Khoiron Minhaa”

Segala sesuatu adalah milik Allah dan akan kembali pada-Nya. Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik)’, maka Allah akan memberinya ganjaran dalam musibahnya dan menggantinya dengan yang lebih baik.

Malah ketika suami Ummu Salamah meninggal dunia, dia mengucapkan doa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Lalu akhirnya Allah SWT menganugerahkannya pasangan yang lebih baik iaitu Rasulullah SAW sendiri menjadi suaminya. Hadis yang disebutkan di atas diriwayatkan oleh Muslim, nombor 918.

Penguat Umat Islam Ialah Doa

Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita bahawa dalam keadaan serba tidak berdaya, tidak tahu dan keliru sekalipun, penguat kita ialah doa. Mintalah supaya kita mampu menjadi lebih bersabar, mampu menjadi lebih bersyukur.

Tidak salah juga untuk meminta ganjaran pahala dan juga balasan lebih baik daripada apa yang telah hilang.

‘Ya Allah, aku tidak tahu bagaimana untuk menjadi sabar, bagaimana untuk berasa syukur dalam keadaan diuji begini, namun engkau tahu, maka kurniakanlah aku rasa sabar dan syukur. Berilah ganjaran dari apa yang sedang aku lalui, berilah ganti yang lebih baik daripada apa yang hilang. Berilah aku kesembuhan dan rasa reda.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami